Hilang di laut: Operasi SAR cari Muhammad Ikmal, Nor Hasrul dihentikan
BALIK PULAU - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar memukat ikan di perairan Pantai Keracut, Kuala Sungai Pinang sejak Selasa lalu dihentikan pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, operasi melibatkan 90 pegawai dan anggota polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta nelayan tempatan.
Menurutnya, operasi telah meliputi sehingga 4,802 batu nautika bersamaan 8,884 kilometer persegi.
"Gerakan mencari dua lelaki tersebut sudah masuk hari kelima hari ini (Sabtu). Kita telah menggunakan semua elemen dan aset agensi-agensi terlibat antaranya Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Udara Maritim dan bot.
"Selain itu, kita juga mendapat bantuan daripada nelayan dari Kuala Sungai Pinang dan Teluk Bahang. Bagaimanapun, usaha pencarian tetap gagal berikutan tidak menjumpai sebarang petunjuk.
"Oleh demikian, kita mengambil keputusan untuk menamatkan operasi SAR pada hari ini (Sabtu)," katanya pada sidang akhbar di Jeti Kuala Sungai Pinang di sini.
Tambahnya, walaupun operasi SAR dihentikan, pihak Maritim Malaysia akan terus menjalankan pencarian dalam rondaan rutin mereka.
"Usaha mencari akan diteruskan oleh Maritim Malaysia dengan bantuan nelayan, dengan harapan mangsa dapat ditemui. Kedua-dua mangsa yang menaiki sebuah bot dipercayai dihanyutkan oleh arus deras ke sebelah utara.
"Walaupun kita mencari di kawasan yang dikatakan, pencarian masih gagal. Kita akan mendapatkan bantuan daripada negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia untuk mengesan mangsa.
"Setakat ini, memang tak jumpa sebarang petunjuk. Jika bot karam atau pecah, pasti ada serpihan tetapi tiada. Kita percaya, mungkin bot dinaiki mereka hanyut lebih jauh," katanya.
Menurut beliau, operasi SAR berjalan lancar sepanjang lima hari berikutan keadaan cuaca yang baik.
"Tiada halangan cuaca atau ombak mahu pun ribut sepanjang operasi dijalankan," katanya.
Ditanya mengenai bot yang dinaiki kedua-dua mangsa, Sazalee berkata, bot tersebut disewa daripada individu.
"Bot itu tidak berdaftar dengan persatuan nelayan.
"Ia disewa oleh kedua-dua mangsa," katanya.
Sebelum ini, dua lelaki dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki mereka hanyut di perairan Pantai Keracut, Kuala Sungai Pinang di sini pada Selasa malam.
Mangsa, Muhammad Ikmal Hakimi Ismail dari Titi Teras yang juga berstatus orang kurang upaya masalah pembelajaran dan rakannya, Nor Hasrul Abdullah, 25 dari Paya Kongsi dilaporkan hilang pada jam 7 malam selepas bot dinaiki mereka dikatakan mengalami kerosakan enjin.
Kedua-dua mangsa didapati menaiki sebuah bot berwarna biru dan merah yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!