Penduduk terpaksa bina sendiri jambatan guna kayu nibong

Lebih 1,400 penduduk di Kampung Jubakar Pantai, Tumpat terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan membina jambatan menggunakan kayu nibong bagi menggantikan laluan yang terputus akibat banjir buruk 24 November lalu.
Lebih 1,400 penduduk di Kampung Jubakar Pantai, Tumpat terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan membina jambatan menggunakan kayu nibong bagi menggantikan laluan yang terputus akibat banjir buruk 24 November lalu.
A
A
A

TUMPAT - Lebih 1,400 penduduk di Kampung Jubakar Pantai di sini terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan membina jambatan menggunakan kayu nibong bagi menggantikan laluan yang terputus akibat banjir buruk 24 November lalu.

Bagaimanapun jambatan tersebut hanya mampu dilalui oleh motosikal dan tidak selamat untuk kegunaan jangka panjang.

Justeru, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar memberikan perhatian khusus terhadap masalah berkenaan yang didakwa sekian lama membelenggu penduduk kampung itu.

“Laluan ini sangat penting untuk kehidupan harian penduduk, kehilangan akses tersebut telah menjejaskan urusan kerja, pendidikan dan keperluan asas mereka.

"Saya berharap kerajaan Pusat segera menyediakan peruntukan khas bagi membaik pulih laluan ini,” katanya pada Sabtu.

Sebelum itu beliau bersama ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional Kelantan telah mengadakan lawatan ke Kampung Jubakar Pantai di sini bagi meninjau keadaan laluan utama yang terputus dan memberi kesan besar kepada penduduk setempat.

Takiyuddin (tiga dari kiri) bersama Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional Kelantan mengadakan lawatan ke Kampung Jubakar Pantai, Tumpat bagi meninjau keadaan laluan utama yang terputus dan memberi kesan besar kepada penduduk setempat.
Takiyuddin (tiga dari kiri) bersama Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional Kelantan mengadakan lawatan ke Kampung Jubakar Pantai, Tumpat bagi meninjau keadaan laluan utama yang terputus dan memberi kesan besar kepada penduduk setempat.

Lawatan tersebut diketuai oleh Takiyuddin bersama Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Mat Nawi; Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff; Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari; dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Artikel Berkaitan:

Beliau mewakili Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional yang hadir menegaskan bahawa isu infrastruktur luar bandar seperti itu perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan Pusat.

Katanya, mereka turut menggesa perancangan jangka panjang bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar.

Ujar beliau, penduduk Kampung Jubakar Pantai kini menanti langkah segera daripada pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah yang menjejaskan kehidupan harian mereka.

"Perhatian serius terhadap isu ini dilihat sebagai satu keperluan mendesak untuk menjamin kelangsungan kehidupan mereka.

“Kami akan terus memperjuangkan hak rakyat sehingga masalah ini diselesaikan. Penduduk kampung tidak boleh dibiarkan terus menanggung beban ini tanpa tindakan yang konkrit,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!