Draf kertas kabinet pengasingan kuasa AG dijangka siap pertengahan tahun depan

Anwar ketika menjawab soalan berkaitan kerajaan dan isu semasa dalam sidang media yang diadakan di Subang Jaya hari ini. - Foto: Bernama
Anwar ketika menjawab soalan berkaitan kerajaan dan isu semasa dalam sidang media yang diadakan di Subang Jaya hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

SUBANG - [DIKEMAS KINI] Draf kertas kabinet mengenai pengasingan kuasa antara Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya (PP) dijangka siap pada pertengahan tahun depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, cadangan pembahagian fungsi antara Peguam Negara dan PP telah diterima oleh kabinet dan seorang menteri telah ditugaskan bersama dengan pasukan petugas untuk menelitinya.

Perdana Menteri turut mengakui bahawa isu berkenaan cukup rumit, dan mengambil masa untuk disiapkan kerana ia memerlukan banyak pindaan, termasuk Perlembagaan Persekutuan.

"Usaha ini pasti akan berjaya dilaksanakan, diharapkan pada pertengahan tahun depan.

"Saya belum lihat draf itu.. tetapi kertas kerja yang dibentangkan setakat ini ialah keputusan dasar sama ada kita bersetuju dengan pengasingan itu yang telah diluluskan oleh Kabinet,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Sidang media khas itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa bersama kira-kira 100 wartawan tempatan dan antarabangsa.

Anwar berkata, bahawa pemisahan AG dan PP bukan sekadar pembahagian tugas, tetapi turut melibatkan soal menjaga integriti pejabat.

"Bagi saya, isunya bukan (sahaja) pembahagian tugas biasa... ia adalah integriti pejabat," katanya.

Khamis lepas gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Anwar mengumumkan garis masa yang jelas untuk pengasingan fungsi pendakwaan awam daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Artikel Berkaitan:

Pada Mac 2023, Anwar mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk memisahkan pejabat pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pengasingan peranan AG dan PP bertujuan meningkatkan kebebasan dan integriti sistem perundangan, memastikan keputusan pendakwaan dibuat tanpa pengaruh yang tidak wajar dan Peguam Negara boleh bertindak sebagai penasihat undang-undang yang tidak berat sebelah kepada kerajaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!