Tiada saksi, CCTV di lokasi kejadian kucing mati di UM - DVS
SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menerima dua aduan berasingan berhubung kes kematian kucing di Universiti Malaya (UM), namun tidak menjumpai sebarang bukti ketika siasatan dilakukan.
DVS dalam satu kenyataan berkata, bagi kes pertama hasil pemeriksaan terhadap bangkai kucing yang digali menunjukkan sudah terurai dan tidak boleh dilakukan bedah siasat bagi mengesahkan kejadian sebenar.
Menurutnya, pihak pengurusan universiti juga memaklumkan bahawa tiada saksi dan kamera litar tertutup (CCTV) pada bangunan berkenaan.
"DVS menerima aduan pada 17 Disember 2024 mengenai kematian kucing yang berlaku di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi.
"Pada hari sama, pasukan Unit Kebajikan Haiwan DVS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjalankan siasatan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung aduan itu.
"Maklumat yang diperoleh daripada pihak pengurusan UM menyatakan kejadian sebenar berlaku pada 12 Disember 2024 dan bangkai kucing telah ditanam di sekitar bangunan fakulti tersebut," katanya pada Sabtu.
Tambah kenyataan itu, bagi kejadian kedua, DVS telah menerima aduan pada 20 Disember 2024 melibatkan kematian empat ekor kucing di lokasi berbeza di sekitar kampus UM iaitu Perpustakaan UM, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Pusat Asasi Sains berdekatan Pusat Mikrobiologi dan Genetik Molekul serta Ambang Asuhan Jepun.
Bagaimanapun katanya, pasukan Unit Kebajikan Haiwan DVS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang turun menjalankan siasatan pada hari yang sama tidak menjumpai sebarang karkas, darah atau bukti berkaitan kematian kucing yang dilaporkan.
"Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pihak pengurusan keselamatan universiti memaklumkan bangkai kucing dikatakan telah dihantar ke klinik veterinar yang tidak dikenal pasti oleh wakil Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM).
"Pasukan penyiasat juga gagal mendapatkan maklumat daripada wakil KMUM pada hari tersebut," katanya.
DVS berkata, pihaknya memandang serius terhadap kejadian itu dan meminta mana-mana pihak supaya membuat aduan secara rasmi sekiranya terdapat kes kezaliman haiwan seperti itu kepada pihak berkuasa veterinar di pautan awa.dvs.gov.my.
Jelasnya, sebarang aduan hendaklah dibuat kepada pihak berkuasa veterinar agar tindakan dapat diambil selaras dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772].
"Tindakan yang tidak mengikut saluran tepat dikhuatiri boleh mengganggu siasatan yang akan dijalankan," katanya.
Sebelum ini, tular hantaran di media sosial berkaitan dua kucing didakwa diperlakukan dengan kejam apabila dibelah perut selain keempat kaki telah dipotong di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.20 petang, Selasa lepas.
Katanya, susulan itu satu siasatan lanjut telah dijalankan dan mendapati kematian kucing berkenaan akibat diserang anjing liar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!