Persatuan wujudkan kartel bakal berdepan penalti lebih berat - MyCC
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memberi amaran penalti lebih berat bakal dikenakan terhadap persatuan-persatuan yang mewujudkan perjanjian antipersaingan atau kartel harga.
Pengerusinya, Tan Sri Idrus Harun berkata, penalti itu akan dikenakan melalui pindaan Akta Persaingan 2010 yang akan dibentangkan pada awal tahun depan.
Tegasnya, pindaan berkenaan sekali gus memperkasakan lagi kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC untuk memastikan perilaku sabotaj ekonomi dapat ditangani dengan lebih efektif.
"MyCC melahirkan rasa kesal terhadap tindakan terkini beberapa persatuan yang mengumumkan kenaikan harga atau menetapkan harga minimum perkhidmatan atau barangan termasuk mengenakan syarat perdagangan baharu yang didapati memberi kesan negatif secara langsung kepada kos sara hidup rakyat.
"Perkara ini amat membimbangkan kerana ia melibatkan sektor penting antaranya pengangkutan, perkhidmatan jagaan, kesihatan dan makanan yang merupakan keperluan asas rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Justeru, Idrus berkata, MyCC memandang serius perilaku persatuan-persatuan yang galak membuat pengumuman kenaikan harga atau harga minimum atau syarat perdagangan baharu tersebut terutamanya melalui media tanpa memikirkan impak yang menambahkan lagi cabaran kelangsungan hidup rakyat.
"Pengumuman sebegini boleh dikategorikan sebagai suatu perjanjian antipersaingan atau kartel kerana ia mencerminkan suatu keputusan ahli jawatankuasa persatuan yang pada masa sama merupakan pesaing dalam industri.
"Ia juga boleh dikategorikan sebagai isyarat daripada persatuan kepada ahli-ahlinya dalam menyebar luas keputusan yang telah ditetapkan dengan tujuan untuk memastikan ahli menjayakan perlakuan kartel secara bersepadu," ujarnya.
Idrus menegaskan, persatuan-persatuan tidak boleh mengambil jalan mudah dengan bersekongkol untuk menaikkan harga atau menetapkan harga minimum atau mengenakan syarat perdagangan baharu yang akan menaikkan harga meskipun berlakunya peningkatan kos perniagaan di dalam dan luar Malaysia.
"Dalam usaha perusahaan-perusahaan mencari penyelesaian kepada peningkatan kos perniagaan, mereka tidak boleh mengambil jalan mudah dengan bersekongkol. Keputusan sedemikian sepatutnya dilakukan secara bebas dan tanpa arahan atau keputusan persatuan.
"Mereka tidak boleh berselindung di sebalik jawatan-jawatan persatuan mereka atau keahlian mereka di dalam persatuan. Jawatan atau keahlian itu bukan satu lesen untuk menghalalkan perlakuan kartel masing-masing," ujarnya.
Malahan, Idrus menambah, MyCC sudah membuka beberapa kertas penyiasatan terhadap beberapa persatuan serta ahli jawatankuasa termasuk ahli-ahli persatuan yang disyaki terlibat dalam perlakuan kartel.
Kata beliau, MyCC mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak untuk menyalurkan maklumat termasuk daripada orang awam, agensi kerajaan serta ahli jawatankuasa dan ahli persatuan yang tidak bersetuju dengan tindakan persatuan mengamalkan perlakuan kartel.
"Maklumat tersebut boleh disalurkan melalui saluran rasmi iaitu https://www.mycc.gov.my/bm/membuat-aduan atau emel ke complaints@mycc.gov.my untuk tindakan lanjut.
"Pengadu juga dialu-alukan untuk menggunakan saluran alternatif seperti surat, panggilan telefon atau memfailkan aduannya di pejabat MyCC. MyCC menjamin kerahsiaan pengadu dan pemberi maklumat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!