Pakej rangsangan ekonomi: Kerajaan sedia terima cadangan pemain industri

Guan Eng (tengah) merasmikan Restoran Mcdonald's Pandu Lalu Bagan Ajam di sini hari ini.
Guan Eng (tengah) merasmikan Restoran Mcdonald's Pandu Lalu Bagan Ajam di sini hari ini.
A
A
A

BUTTERWORTH - Kerajaan bersedia menerima sebarang cadangan dan pandangan daripada pemain industri untuk dipertimbangkan dalam pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan pada 27 Februari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, setiap cadangan dan pandangan akan dipertimbangkan serta dibincangkan nanti.

Malah menurutnya, kerajaan sudah pun menerima beberapa cadangan namun tidak akan mendedahkannya berikutan pengumuman mengenai pakej rangsangan ekonomi itu akan dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada petang 27 Februari ini.

"Lebih baik kita tunggu pengumuman yang lengkap sepenuhnya oleh Perdana Menteri pada 27 Februari nanti. Bagaimanapun kita bersedia untuk terima cadangan atau pandangan daripada pemain industri.

ARTIKEL BERKAITAN: PM umum pakej rangsangan ekonomi 27 Februari ini

"Malah sebentar lagi, saya akan berjumpa dengan beberapa pemain industri secara tertutup untuk mendengar cadangan mereka," katanya pada sidang media selepas merasmikan Restoran McDonald's Pandu Lalu Bagan Ajam, di sini hari ini.

Terdahulu, Guan Eng berkata, Dr Mahathir akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Februari ini dalam usaha kerajaan mengurangkan impak ekonomi luaran berikutan penularan koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, pakej rangsangan yang akan diumumkan pada jam 4.30 petang itu bukan belanjawan baharu atau sebahagian daripada dasar Belanjawan 2020, sebaliknya bantuan disalurkan kepada sektor yang terkesan.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata, inisiatif #MalaysiaKerja (Malaysians@Work) dibuka pada April ini yang akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, inisiatif itu bagi mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik untuk belia dan wanita selama lima tahun dalam mewujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 350,000 untuk rakyat Malaysia.

"Kerajaan memperuntukkan RM6.5 bilion sepanjang tempoh pelaksanaannya bagi mereka yang susah untuk mendapat pekerjaan selain bertujuan mengurangkan kadar pengangguran negara.

"Dengan pelaksanaan inisiatif ini, dijangka sebanyak 350,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan sepanjang tempoh lima tahun. Jumlah itu tidak termasuk untuk sektor swasta, jika ditambah, kira-kira lebih sejuta peluang pekerjaan akan disediakan," katanya.

Pada 21 November lalu, inisiatif #MalaysiaKerja dilancarkan di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2019 anjuran KWSP.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!