Isu gangguan seksual: Tiada kompromi, tidak kira jawatan atau status pelaku

Universiti Malaya (UM) tidak akan berkompromi dan mengambil kira jawatan atau status yang dipegang oleh pelaku susulan kes gangguan seksual yang didakwa berlaku di universiti itu. Gambar kecil: Noor Azuan
Universiti Malaya (UM) tidak akan berkompromi dan mengambil kira jawatan atau status yang dipegang oleh pelaku susulan kes gangguan seksual yang didakwa berlaku di universiti itu. Gambar kecil: Noor Azuan
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Malaya (UM) tidak akan berkompromi dan mengambil kira jawatan atau status yang dipegang oleh pelaku susulan kes gangguan seksual yang didakwa berlaku di universiti itu.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman berkata, pihaknya telah dimaklumkan bahawa kes melibatkan seorang pensyarah sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membantu siasatan.

“UM juga berhasrat menjalankan siasatan dalaman dengan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman. Bagaimanapun, usaha ini memerlukan bukti yang kukuh untuk dimulakan.

“Oleh itu, UM menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat, terutamanya mangsa agar tampil ke hadapan bagi membantu menyelesaikan isu ini dengan segera.

“Sebagai sebuah institusi awam, UM tidak akan berkompromi dalam menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar, staf serta seluruh komuniti kampus.

“Namun begitu, kami perlu mematuhi setiap lunas undang-undang dan peraturan apabila melaksanakan tindakan ke atas setiap aduan bagi memastikan ia terlaksana dengan adil serta saksama,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan seorang pensyarah universiti tersebut didakwa menghantar gambar lucah kepada beberapa pelajarnya.

Sehubungan itu, Kelab Feminisme UM menggesa pengurusan universiti terbabit segera menambah baik dasar antigangguan seksual.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Noor Azuan menambah, universiti memandang serius isu berkenaan sekali gus komitmennya termaktub pada Kod Bebas Eksploitasi, Penganiayaan dan Gangguan Seksual.

“Ia boleh dimuat turun melalui Kod QR sebagai satu usaha sebar luas pemakaian kod tersebut. Kod itu juga telah disemat dan ditambah baik yang mana telah melibatkan pelbagai pihak seperti wakil pelajar, kesatuan, badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan, wakil polis serta peguam bagi dapatkan input menyeluruh.

“UM juga menyediakan platform yang sama di laman web https://umintegrity.um.edu.my bagi membantu mangsa tampil melaporkan kejadian gangguan seksual serta ada juga Polisi Pemberi Maklumat UM sebagai usaha menggalakkan sebarang laporan salah laku,” ujarnya.

Menurutnya, inisiatif universiti diteruskan lagi dengan mendengar pandangan pelajar daripada Kelab Feminisme UM yang telah mengemukakan tinjauan dan mendakwa bahawa satu daripada lima pelajar pernah mengalami gangguan seksual.

Tambah beliau, semakan yang dijalankan bersama pakar bidang pengajian gender daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial mendapati terdapat beberapa kelemahan wujud dalam aspek metodologi serta pensampelan memerlukan penelitian lanjut.

“Dakwaan ini merupakan perkara serius dan pihak universiti akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya ia tidak berasaskan kajian menyeluruh serta data yang sahih.

“Saya memandang serius tuduhan daripada alumni pengajian gender terhadap dakwaan itu. UM perlu mengambil langkah tegas termasuk tindakan undang-undang sekiranya dakwaan tersebut didapati tidak berasaskan data dan fakta yang tepat,” katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!