KWAT bakal buka penyertaan ahli baharu kepada orang ramai
SHAH ALAM - Penyertaan keahlian bagi Koperasi Warisan Terengganu Berhad (KWAT) bakal dibuka kepada orang ramai dan tidak terhad kepada individu yang berasal dari Besut, Terengganu sahaja.
Presidennya, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, perkara itu sudah diusulkan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk mendapatkan kelulusan.
"Setakat ini jumlah ahli kita dah cecah lebih 100 orang, tetapi kita kalau boleh mahu galakkan lebih ramai individu untuk sertai KWAT. Lebih-lebih lagi anak-anak atau ahli keluarga daripada ahli sedia ada.
"Jika satu keluarga ada empat ke lima orang, tidak mustahil angka tersebut boleh meningkat kepada 300 hingga 400 ahli. Tetapi kami di pihak koperasi sudah mula mengusulkan kepada SKM untuk membuka keahlian kepada orang ramai seluruh Malaysia.
"Sekiranya diluluskan, insya-ALLAH bilangan ahli bakal bertambah dan menjadikan KWAT semakin kukuh serta berkembang begitu juga dengan peningkatan keuntungan koperasi," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Muhammad Nasir memaklumkan, yuran bagi setiap individu yang mahu menyertai KWAT hanya RM1,025.
Jelasnya, pembayaran RM1,000 adalah sebagai pelaburan awal dan RM25 pula merupakan yuran pendaftaran, tetapi sekiranya ada yang mahu melabur lebih tinggi juga dialu-alukan.
Tambah beliau, bagi individu yang mahu sertai boleh hubungi Bendahari KWAT, Nik Ahmad Tajuddin Sheikh Jaafar di talian 019-4524567.
"Walaupun kita alami sedikit kemerosotan selama tiga ke empat tahun sebelum ini, namun alhamdulillah berdasarkan pembentangan tadi... kita dapat lihat KWAT berjaya mencapai keuntungan bersih yang besar dan mampu membayar dividen.
"Insya-ALLAH saya rasa kalau ada tahun-tahun mendatang ini dengan pengurusan yang baik di KWAT dan peningkatan pelanggan kita, saya yakin kita punya keuntungan akan berganda lagi," ujarnya.
Sementara itu, Nik Ahmad Tajuddin berkata, strategi mencari pelanggan baharu dan menjaga kos perbelanjaan sudah dilakukan bagi memastikan keuntungan koperasi kekal stabil.
Menurutnya, inisiatif tersebut terbukti berkesan setelah perubahan ketara yang dicatatkan pada 2023 apabila pendapatan bersih selepas penolakan bayaran cukai adalah lebih RM350,000.
"Kita pernah alami kemerosotan selama tiga ke empat tahun iaitu 2017 hingga 2020, tetapi dengan alternatif seperti yang saya sebutkan tadi... alhamdulillah kadar keuntungan koperasi kembali stabil.
"Pelaburan bersama Ar-Rahnu Bank Rakyat ini bagus lebih-lebih tahun depan dimaklumkan ada kenaikan harga emas tetapi pada masa sama, kita pun nak jadi konservatif sikit. Perlu berhati-hati sebab bila harga emas terlampau tinggi, takut akan jatuh semula.
"Jadi, kita pilih pelanggan dan jaga margin kewangan koperasi agar tidak terlalu tinggi. Maksimum hanya boleh dicapai 70 peratus sahaja tetapi kepada pelanggan yang setia kita masih bagi 75 atau 80 peratus. Itu strategi kita," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!