Sukan SEA 2025: Cabaran getir menanti skuad olahraga
SKUAD olahraga negara dijangka berdepan cabaran lebih berat dalam usaha membawa pulang lebih banyak pingat emas pada Sukan SEA 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di Thailand.
Bekas atlet lari berpagar 400 meter (m) wanita negara, Noraseela Mohd Khalid berkata, sukar baginya meramalkan jumlah pungutan pingat memandangkan Thailand dijangka menggunakan kelebihan sebagai tuan rumah untuk mendominasi sukan berkenaan pada temasya dwitahunan itu.
"Pastinya sukar kerana kita masih harap medal daripada atlet yang berada di luar negara seperti wakil 100m lelaki Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan atlet 400m wanita Shereen Samson Vallabouy.
"Bagi Muhammad Azeem, beliau perlu berusaha lebih gigih untuk menang emas kerana dijadual berdepan saingan Puripol Boonson yang layak ke separuh akhir Sukan Olimpik 2024,” katanya kepada Bernama selepas majlis pembukaan Inclusive Leadership Programme (iLEAP) Kuala Lumpur (KL) 2024 di sini hari ini.
Penampilan sulung Muhammad Azeem di Sukan Olimpik 2024 terhenti seawal pusingan pertama dengan menduduki tempat terakhir menerusi catatan 10.45 saat (s) manakala Boonson satu-satunya wakil Asia Tenggara layak ke separuh akhir.
Selain Muhammad Azeem dan Shereen, Noraseela tidak menolak kemungkinan mereka yang menyumbang pingat perak dan gangsa pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, khususnya daripada acara padang berpotensi menyinar.
Dalam pada itu, pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2006 mengakui prestasi Malaysia dalam sukan olahraga di Sukan SEA kian merudum kerana kali terakhir Malaysia membawa pulang lebih 10 pingat emas adalah pada edisi 1999 di Brunei dengan 12 emas.
Selepas itu, pencapaian terbaik skuad olahraga dengan memenangi lapan pingat emas ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 2017 dan sekadar merangkul lima pingat emas buat tiga edisi berturut-turut (2019, 2021 dan 2023).
Sehubungan itu, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu mengambil tanggungjawab dengan perencanaan strategi serta membuat keputusan lebih bijak dalam memperbaiki prestasi skuad olahraga bukan sahaja untuk Sukan SEA malah kejohanan atau temasya sukan lain termasuk Sukan Olimpik.
Pemenang pingat emas Sukan SEA sebanyak empat kali itu berkata KOM juga perlu memberikan penekanan dalam mendedahkan atlet kepada lebih banyak pertandingan di luar negara agar mereka dapat menilai prestasi dengan pencabar dari negara lain.
Sementara itu, Noraseela yang juga antara penasihat iLEAP berkata edisi kelapan program berkenaan menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 36 peserta termasuk dua dari Singapura.
iLEAP KL 2024 anjuran Malaysian Olympism in Action Society itu mendapat sokongan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, menghimpunkan atlet muda termasuk golongan orang kurang upaya untuk meneroka potensi diri, menerima kepelbagaian dan memperkembangkan kemahiran. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!