Tawar khidmat seks RM1,200 empat jam
KUALA LUMPUR - Taktik sindiket pelacuran menggunakan gambar wanita warga asing untuk mempromosikan kegiatan itu di dua laman sesawang terbongkar susulan penangkapan 67 individu di lima premis di ibu kota dan Genting Highlands pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sindiket menggunakan platform tersebut untuk mempromosikan pelacur dari Vietnam, Thailand, Laos dan Indonesia.
"Bayaran yang dikenakan untuk langganan adalah RM1,200 bagi tempoh empat jam perkhidmatan seks.
"Sekiranya persetujuan dicapai, pelanggan diarah untuk ke hotel atau rumah urut untuk melakukan aktiviti seks dan bayaran dibuat terus kepada penjaga premis atau pelacur," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Mohd Shuhaily berkata, dalam serbuan yang bermula pada jam 3 petang itu, polis menahan empat individu termasuk dua wanita tempatan yang merupakan pengendali laman sesawang itu.
"Mereka juga menguruskan tempahan pelanggan melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram.
"Selain itu, dua lelaki tempatan turut ditahan kerana berperanan sebagai 'transporter' untuk menghantar dan mengambil pelacur untuk perkhidmatan seks," katanya.
Menurutnya, seramai 35 anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman terlibat dalam Op Noda tersebut.
"Kita telah menahan 56 wanita warga asing berusia 21 hingga 54 tahun. Kita turut merampas wang tunai sebanyak RM11,490, dua unit perakam kamera litar tertutup, kondom, tuala, tisu, minyak urut dan 15 telefon bimbit," katanya.
Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, IPD Cheras dan IPD Bentong Pahang untuk proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan, Seksyen 372B, Seksyen 373, Seksyen 372(1)(e) dan Seksyen 372(1)(f) akta sama.
"Kita turut menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/53, Seksyen 6(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!