Kelantan Red Warriors ganti The Red Warriors
KELANTAN Red Warriors (KRW) FC yang baru ditubuhkan tujuh hari lalu bersedia menggantikan The Red Warriors (TRW) FC yang telah terkubur daripada saingan Liga Malaysia (Liga M).
Presiden KRW FC, Nik Hafiz Nik Naim berkata, proses mempersiapkan pasukan itu dijangka akan bermula sepenuhnya pada Januari.
"Bulan ini (Disember) kita beri tumpuan kepada pelancaran dan pengenalan pasukan. Selepas ini, kita akan fokus kepada persiapan," katanya semasa sidang akhbar pelancaran KRW FC di sini pada Sabtu.
Hadir sama ialah, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Afandi Hamzah.
Menurut beliau, ketika ini KRW sudah mengemukan proses untuk bersaing di Liga A1 Semi-Pro musim hadapan.
Ujarnya, KRW FC dibentuk hasil sokongan pelabur-pelabur TRW FC yang mahu melihat pasukan Kelantan kembali bersaing dalam kancah Liga M pada masa hadapan.
Nik Hafiz memberitahu, sebagai peminat tegar TRW FC dan pemegang saham kedua terbesar, beliau tidak boleh lari daripada mengambil identiti asal pasukan berkenaan.
Tambahnya, beliau memerlukan perbelanjaan sebanyak RM2 juta untuk menggerakkan KRW FC dalam persaingan di Liga AI Semi-Pro nanti.
"Dengan nilai perbelanjaan itu, kita berharap mampu membawa masuk pemain bintang bagi memperkuatkan KRW FC," katanya.
Menurut Nik Hafiz, dana tersebut melibatkan para pelabur selain berusaha mendapatkan tajaan.
"Kita akan belanja secara berhemah bagi memastikan kantung kewangan pasukan tidak terjejas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!