Pulangan lumayan tak dapat, rugi pula RM154,000
MUAR - Seorang pengurus kilang kayu berputih mata selepas wang simpanan sebanyak RM154,000 ditipu sindiket pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, lelaki tempatan berusia 39 tahun itu melihat iklan pelaburan ketika melayari laman sesawang di Facebook pada penghujung Oktober lalu.
"Mangsa telah dihubungi melalui WhatsApp oleh seorang wanita yang mengaku sebagai pembantu peribadi pelaburan.
"Wanita itu menjanjikan pulangan lumayan sebanyak 30 peratus dalam tempoh lima hari bekerja.
"Mangsa mendaftar dan membuat lapan transaksi ke lima akaun bank berbeza berjumlah RM154,0000 bermula Oktober hingga 12 Disember lalu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Raiz Mukhliz, mangsa menyedari dirinya telah ditipu apabila keuntungan yang diterima tidak dapat dikeluarkan seperti dijanjikan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun, dengan sebatan dan juga dikenakan denda," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!