Premis kotor, ada lipas, najis tikus, empat restoran diarah tutup serta-merta
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan empat premis ditutup serta-merta selepas melakukan pelanggaran serius terhadap kebersihan restoran.
DBKL memaklumkan, sebanyak 26 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Sepadu Premis Makanan Bersih sepanjang Jalan Radin Anum 1, Bandar Baru Sri Petaling, Parlimen Seputeh.
Menurutnya, antara kesalahan dikesan melibatkan kegagalan menyelenggara alat perangkap minyak secara berkala serta membuang efluen terus ke longkang awam.
"Premis makanan juga didapati tidak menjaga kebersihan lantai dalam keadaan kotor, berdaki dan berminyak selain tiada jadual pembersihan yang teratur.
"Pemeriksaan turut menemukan lipas dan najis tikus yang menunjukkan kegagalan melaksanakan kawalan perosak secara berkesan," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Operasi dijalankan oleh Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan diketuai Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Nor Halizam Ismail.
Turut hadir, Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Leong Ooi Kuan dan Lai Chen Heng.
Selain itu katanya, pemeriksaan mendapati pekerja di beberapa premis dikesan tidak memiliki suntikan tifoid dan tidak menghadiri kursus pengendalian makanan.
"Penyediaan makanan juga dilakukan di atas lantai manakala bahan mentah disimpan tanpa perlindungan sesuai hingga mengundang lalat.
"Dinding di kawasan penyediaan makanan didapati kotor, berdaki dan tidak dipasang jubin.
"Beberapa gerai atau kios tidak berlesen turut dikesan menghalang laluan pejalan kaki dan tempat letak kenderaan," katanya.
Tambahnya, terdapat premis dikesan membuat penyediaan dan pencucian makanan di kaki lima serta lorong belakang premis yang melanggar peraturan kebersihan.
Jelasnya, longkang awam di kawasan premis turut ditutup dengan simen menyebabkan gangguan aliran air dan menyukarkan pembersihan oleh Alam Flora.
Katanya lagi, menerusi operasi itu, terdapat juga majikan yang menggajikan pekerja warga asing tanpa permit sah dan melanggar undang-undang buruh ditetapkan.
"DBKL menyeru semua pemilik premis makanan untuk mematuhi peraturan ditetapkan bagi menjamin kesihatan awam dan kesejahteraan warga kota.
"Sebarang aduan berkaitan kebersihan premis makanan boleh disalurkan melalui portal Adu@KL di laman sesawang adukl.dbkl.gov.my," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!