Pas dakwa perjanjian peralihan kuasa tidak sah
SHAH ALAM - Pas mendakwa perjanjian peralihan kuasa Perdana Menteri di antara Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak sah.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perjanjian yang dikatakan wujud itu dibuat pada 7 Januari 2018 iaitu sebelum Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Menurutnya, perjanjian tersebut dipercayai menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri yang kini disandang Dr Mahathir.
"Sekiranya benar-benar wujud, ia bercanggah dengan undang-undang dan tidak sah kerana dibuat sebelum 9 Mei 2018 iaitu tarikh Pakatan Harapan (PH) mendapat kuasa melalui PRU14.
“Adalah ganjil perjanjian dibuat sebelum pihak-pihak yang dikatakan mengikat perjanjian tersebut mendapat dan mempunyai kuasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Takiyuddin berkata, isu peralihan kuasa yang hangat diperkatakan dalam kalangan pemimpin PH itu juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan boleh dianggap mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, berdasarkan Perkara 40 (2) dan 43 (2) (a), Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara mutlak untuk melantik perdana menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti.
"Dalam hal melantik Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong tidak memerlukan nasihat dari mana-mana pihak apatah lagi desakan dan tekanan seumpama yang jelas kelihatan dilakukan oleh PH sekarang.
"Pas tetap berpandangan apabila Perdana Menteri yang sedang berkhidmat dipertikaikan kedudukannya hanya usul undi percaya dalam Dewan atau Akuan Bersumpah (SD) di luar dewan sahaja boleh menentukan sama ada beliau masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
"Usul undi percaya di Dewan walaupun suatu perkara yang belum pernah berlaku namun ianya bukanlah tidak sah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!