PM disaran angkat cadangan Bahasa Melayu bahasa kedua ASEAN
PETALING JAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disarankan supaya mengangkat cadangan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN sempena negara mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan perbincangan beliau bersama bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) sewaktu lawatan rasmi ke negara berkenaan pada tahun 2020.
Ujarnya, cadangan berkenaan diharap dapat dimulakan di mesyuarat ASEAN negara ini agar ia dapat menjadi ikutan untuk negara lain.
"Memang perkara tersebut telah dibangkitkan dalam perjumpaan bersama Jokowi ketika itu. Pada dasarnya Indonesia tidak ada halangan.
"Saya harap Perdana Menteri boleh suarakan pandangan ini dan kalau boleh kita mulakan di Malaysia, ia mungkin dapat mempengaruhi negara yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Pelancaran Pertubuhan Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia di LMP Lumi Tropicana pada Sabtu.
Mengulas mengenai penggunaan Bahasa Melayu di negara ini, menurutnya, pemikiran rakyat masih lagi dijajah dengan pengaruh budaya Inggeris.
"Kita masih mengagungkan bahasa Inggeris. Budayanya pun banyak menyebabkan anak-anak muda kita terpengaruh.
"Kita bangga kalau guna bahasa berkenaan tetapi rasa malu apabila pakai Bahasa Melayu, ini antara perkara yang perlu diubah dalam pemikiran rakyat kita," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!