Rempuh pasar Krismas: Angka kematian meningkat kepada empat orang

Serangan itu berlaku pada Jumaat di pasar Krismas yang popular di pusat bandar Magdeburg. Foto Xinhua
Serangan itu berlaku pada Jumaat di pasar Krismas yang popular di pusat bandar Magdeburg. Foto Xinhua
A
A
A

BERLIN - Angka kematian akibat serangan kereta di sebuah pasar Krismas di bandar Magdeburg, Jerman meningkat kepada empat orang, lapor Agensi Anadolu (AA) pada Sabtu memetik media tempatan.

Memetik sumber keselamatan, saluran televisyen NDR dan penyiar awam ARD melaporkan lebih 200 yang lain cedera dalam kejadian itu.

Menurut Media Jerman, suspek berusia 50 tahun telah menetap di Jerman sejak 2006 dan memiliki status pemastautin tetap di negara itu.

Serangan itu berlaku pada Jumaat di pasar Krismas yang popular di pusat bandar Magdeburg.

Video di media sosial menunjukkan sebuah kereta berwarna gelap meluncur laju ke arah orang ramai, menyebabkan mereka bertempiaran lari dalam keadaan panik dan menyebabkan keadaan kelam-kabut pada perhimpunan perayaan itu.

Suspek kemudiannya berjaya ditahan.

Polis memperketat kawalan keselamatan di pasar Krismas dan menutup kawasan itu untuk memastikan tempat kejadian selamat.

Pihak berkuasa tempatan menggesa penduduk agar menjauhi kawasan berkenaan sementara siasatan sedang dijalankan. n- Bernama-AA

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!