Tiger Woods akui dirinya 'tidak kompetitif' sekembalinya beraksi

Woods akan bergandingan dengan anaknya, Charlie di Kejohanan PNC di Orlando hujung minggu ini. Foto fail Bernama
Woods akan bergandingan dengan anaknya, Charlie di Kejohanan PNC di Orlando hujung minggu ini. Foto fail Bernama
A
A
A

TIGER Woods mengakui beliau 'tidak kompetitif' ketika bersiap untuk bertanding dalam kejohanan pertamanya sejak pembedahan terbaharu tulang belakangnya, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Woods akan bergandingan dengan anaknya, Charlie, di Kejohanan PNC di Orlando hujung minggu ini, kejohanan pertamanya sejak The Open pada Julai lepas.

Pemain berusia 48 tahun itu menjalani pembedahan 'microdepression' tulang belakang lumbar akibat masalah saraf terhimpit di bahagian bawah tulang belakang pada September, yang merupakan satu daripada beberapa pembedahan tulang belakang yang telah dilaluinya.

"Saya tidak kompetitif buat masa ini,” kata juara 15 kejuaraan utama itu kepada laman sesawang PGA selepas 'pro-am' pada Jumaat di Kelab Golf Ritz-Carlton Orlando di Grande Lakes.

Beliau mengakui hanya membuat keputusan untuk bermain pada saat-saat akhir, tetapi ingin mengalami pengalaman bermain bersama anaknya lagi.

Woods secara berseloroh berkata, anaknya yang berusia 15 tahun pernah menewaskannya dalam permainan sembilan lubang, tetapi belum lagi untuk 18 lubang penuh.

"Hari itu akan tiba. Saya hanya cuba melambatkannya selama yang boleh,” katanya.

Mereka akan disertai oleh Padraig dan Paddy Harrington, yang bermain di Kejohanan PNC untuk kali keenam, bersama pasangan lain seperti Nick dan Matthew Faldo, Lee dan Daniel Trevino, serta Annika Sorenstam dan Will McGee, dalam acara penuh dengan bintang pada Sabtu dan Ahad ini. - Bernama-dpa

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!