Asah minat murid bina karier masa depan
SHAH ALAM - Bagi membuka minat kanak-kanak memilih karier yang diminati, sebuah program khusus bermalam di perpustakaan diwujudkan bagi memberi input kepada murid untuk mengasah bakat dan kecenderungan masing-masing.
Seramai kira-kira 50 murid Tahun Empat empat hingga Enam terlibat dalam program YES! Night at the Library yang dianjurkan Sinar Bestari dan Talent Corporation Malaysia Berhad dengan kerjasama Pustaka Raja Tun Uda, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).
Naib Presiden Kanan, Kerajaan, Kesetiausahaan Korporat dan Sekolah, Talent Corporation Malaysia Berhad, Mas Muhammad Hakim Masika berkata, program berteraskan motivasi dan kendiri itu memberi pendedahan kepada murid berkenaan karier.
Menurutnya, program yang diadakan selama dua hari itu merupakan salah satu daripada objektif Talent Corp untuk melahirkan bakat tempatan.
“Jadi kami punya talent segmen pun bermula dari sekolah sehinggalah ke pesara,
"Saya rasa program seperti ini sangat diperlukan sebab perubahan kepada landskap pekerjaan sekarang terlalu cepat. Bulan lepas kita dengar pasal teknologi kecerdasan buatan (AI), tahun depan mungkin dah jadi perkara lain," katanya
Beliau berkata demikian ketika merasmikan upacara penutup YES! Night at the Library yang berlangsung di Pustaka Raja Tun Uda di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam, Mohamed Fadzli Mohd Fauzi dan Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin.
Mas Muhammad Hakim berkata, satu keunikan ialah Talent Corp sebagai agensi kerajaan mempunyai kelebihan berhubung rapat dengan industri.
“Jadi atas hubungan yang rapat itu kita dapat bermacam-macam maklumat tentang pekerjaan serta kemahiran yang diperlukan dalam industri malah kita bersedia untuk menganjurkan program sebegini pada masa akan datang,” katanya
Bagi Mohamed Fadzli pula, ini kali ketiga program bermalam di perpustakaan diadakan.
“Ramai telah pergi ke perpustakaan tapi bermalam di perpustakaan satu pengalaman yang baru yang tak ramai dapat merasainya.
“Jadi inilah peluang yang kita berikan kepada Sinar Harian dan Karangkraf Sinar Bestari ada pasukan yang dapat menyusun aktiviti program dengan amat baik sekali,” katanya yang mempunyai 105 perpustakaan PPAS di sembilan daerah di Selangor.
Jelasnya, dalam apa juga penganjuran aktiviti, paling penting sebenarnya adalah keselesaan sebab perpustakaan bukan tempat untuk bermalam.
“Pengisian yang sesuai untuk anak-anak dan dengan harga yang berpatutan itu yang paling penting untuk PPAS,” katanya.
Sementara itu, Meen Tahrin berkata, pihaknya mengalu-alukan badan korporat dan swasta untuk bergabung tenaga bersama Akademi Pendidikan Sinar Bestari.
“Menerusi program bermalam di perpustakaan, pendekatan aktiviti bersifat santai dan menyeronokkan kerana kita mahu mencambah minat kanak-kanak terhadap apa yang mereka suka yang akan mencorakkan kerjaya mereka pada masa akan datang,” katanya.
Beliau yang juga pengetua akademi berkenaan berkata, program tersebut dijangka diperluas di perpustakaan lain di Selangor.
“Ini termasuklah program khas kepada pelajar sekolah menengah dan penuntut institut pengajian tinggi (IPT),” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!