Pencarian MH370: Bayaran perlu munasabah, hadkan tidak lebih RM100 juta
SHAH ALAM - Kerajaan perlu menetapkan pembayaran yang munasabah dan mampu ditampung untuk operasi mengesan bangkai pesawat Malaysia Airlines, MH370 selain tidak melibatkan implikasi kewangan pada masa hadapan.
Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kerajaan misalnya boleh menawarkan bayaran tidak melebihi RM100 juta sekiranya pencarian mangsa MH370 berjaya.
“Pencarian MH370 sudah menjadi pencarian termahal di dunia setakat ini, melibatkan perbelanjaan sebanyak AS$150 juta.
“Oleh itu, cadangan saya, walaupun tawaran kali ini bersifat no find, no fee namun mesti ada hadnya iaitu tidak melebihi jumlah kos tertentu,” katanya kepada Sinar Ahad.
Sebelum ini, kerajaan bersetuju menerima tawaran daripada syarikat Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat Malaysia Airlines, MH370 di lokasi baharu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kos pencarian dasar laut di kawasan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi itu ditetapkan pada AS$70 juta.
Menurutnya, di bawah prinsip tiada penemuan, tiada bayaran, kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat berkenaan sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, beliau menyokong dan bersetuju dengan tindakan kerajaan Malaysia dalam usaha mencari bangkai pesawat Malaysia Airlines, MH370 di lokasi baharu.
“Saya bersetuju dengan tawaran no find, no fee ini kerana ia tidak akan memberikan komitmen kewangan kepada kerajaan Malaysia pada masa ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!