Pemegang polisi tunggu butiran terperinci langkah interim insurans diumum BNM

Pemegang polisi sambut baik langkah interim BNM untuk mengurangkan beban kenaikan bayaran premium insurans. Gambar kecil dari kiri: Hasmarina, Nordiani
Pemegang polisi sambut baik langkah interim BNM untuk mengurangkan beban kenaikan bayaran premium insurans. Gambar kecil dari kiri: Hasmarina, Nordiani
A
A
A

ALOR SETAR - Pemegang polisi insurans akan menunggu terlebih dahulu butiran lanjut dan terperinci tentang langkah interim untuk mengurangkan beban kenaikan bayaran premium insurans yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM).

Pemegang polisi insurans, Nordiani Abd Rahman, 39, berkata, langkah interim itu adalah berita baik sekiranya benar kerana ia akan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus pemegang polisi mengalami kenaikan kurang 10 peratus hingga akhir tahun 2026 nanti.

Menurut usahawan itu, dia telah mengambil insurans sejak lapan tahun lepas, sekali gus mengekalkan polisi walaupun berdepan kenaikan bayaran premium.

“Saya berasa seperti tiada pilihan lain kerana insurans adalah keperluan dan bukan lagi kehendak.

“Saya terpaksa mengekalkan polisi ini walaupun bayarannya semakin tinggi sebab takut risiko jika tiada perlindungan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Menurutnya, langkah interim daripada BNM itu disambut baik untuk mengurangkan bebanan pemegang polisi insurans dan takaful yang diumumkan baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, butiran lanjut dan terperinci untuk langkah interim berkenaan masih ditunggu.

“Pada pendapat saya, jumlah sumbangan atau suntikan RM60 juta untuk mempercepatkan pembaharuan sistem kesihatan adalah terlalu kecil untuk memberi impak yang cepat dan positif berbanding saiz sebenar sektor kesihatan swasta,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nordiani berpandangan, perlu ada satu sistem yang lebih telus bagi memastikan hospital swasta tidak mengambil kesempatan melakukan prosedur saringan atau rawatan yang tidak relevan hanya semata-mata untuk mengaut keuntungan.

Seorang lagi pemegang polisi insurans, Hasmarina Hashim, 38, memberitahu, dia berpuas hati dengan langkah interim yang diambil untuk menangani isu kenaikan premium insurans kesihatan.

“Alangkah baiknya jika interim seperti tawaran produk insurans perubatan dan kesihatan alternatif dengan premium sama atau lebih rendah selewat-lewatnya pada akhir 2025 diumumkan lebih awal.

“Sebabnya, saya telah menukarkan polisi insurans baharu untuk anak disebabkan bayaran semakin tinggi kesan penyelarasan premium dan takaful perubatan,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini dia membayar lebih kurang RM300 sebulan untuk anaknya sehinggalah berlaku kenaikan premium yang menyebabkan dirinya beralih kepada polisi lebih rendah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!