Pencarian MH370 mungkin berhasil
SHAH ALAM - Syarikat Ocean Infinity mungkin yakin bahawa usaha pencarian semula pesawat Malaysia Airlines, MH370 di lokasi baharu akan membuahkan hasil hingga menawarkan diri untuk meneruskan misi itu.
Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata, syarikat berkenaan mungkin mempunyai indikator tertentu atau menjumpai maklumat baharu yang meyakinkan mereka bahawa pencarian akan ada potensi untuk ditemui.
“Sebagai sebuah syarikat besar dalam teknologi eksplorasi kelautan, Ocean Infinity juga mungkin ingin menguji teknologi baharu mereka seperti penggunaan dron dasar laut, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dan sebagainya.
“Peluang ini diguna sebagai medan ujian. Jadi kalau mereka lakukan pencarian pun tak rugi sebaliknya akan jadi untung. Sekiranya bangkai pesawat dijumpai mereka boleh dapatkan semula kos yang telah dibelanjakan untuk pencarian,” katanya kepada Sinar Ahad.
Kerajaan pada Jumaat dilapor bersetuju menerima tawaran daripada Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat MH370.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pencarian dasar laut itu dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip no find, no fee iaitu tiada penemuan, tiada bayaran.
Mengulas lanjut, Mohd Fadzil berpandangan, menerusi percaturan tersebut Ocean Infinity tidak berhadapan dengan risiko kerugian kerana mereka menggunakan teknologi yang dibangunkan sendiri.
“Mereka uji teknologi di tempat yang ada potensi untuk mendapatkan keuntungan dan kalau mereka tidak dapat keuntungan pun sekurang-kurangnya mereka melaksanakan perkara yang mereka perlu lakukan untuk pembangunan teknologi.
“Seperti kita sedia maklum beberapa tahun kebelakangan ini teknologi berkembang pesat terutama teknologi dron dan kali terakhir ketika Ocean Infinity melaksanakan pencarian MH370 pada 2017, memang ada banyak teknologi yang diketengahkan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, dengan teknologi diguna pakai oleh Ocean Infinity ketika itu, proses pencarian yang sebelumnya mengambil masa berbulan-bulan untuk sesebuah kawasan akhirnya hanya mengambil masa beberapa hari.
“Jadi jangkaan-jangkaan ini dilihat menjadi sebab syarikat terbabit mahu meneruskan pencarian walaupun ia sudah tentu libatkan kewangan yang sangat besar disebabkan pencarian dibuat di kawasan yang jauh di tengah Lautan Hindi,” ujarnya.
Untuk rekod, beberapa usaha pencarian Ocean Infinity telah berjaya iaitu pada November 2018, kapal Seabed Constructor miliknya berjaya mengesan bangkai kapal selam Argentina, ARA San Juan, yang hilang pada setahun sebelumnya.
Pada Disember 2018, Ocean Infinity diberikan kontrak oleh kerajaan Korea Selatan untuk mencari bangkai kapal pengangkut pukal Stellar Daisy yang tenggelam di Lautan Atlantik pada Mac 2017.
Pada Februari 2019, syarikat tersebut menemui bangkai kapal dan mendapatkan perakam data pelayaran.
Syarikat itu juga berjaya menemui kapal selam Tentera Laut Perancis, Minerve pada Julai 2019, 50 tahun selepas kehilangannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!