Ujian ulangan ke atas warga AS masih positif
PUTRAJAYA - Keputusan bagi ujian ulangan Koronavirus (Covid-19) ke atas pasangan suami isteri warganegara Amerika Syarikat (AS) yang bergejala masih sama iaitu isteri positif dan suaminya pula negatif.
Keputusan ini sekali gus menyangkal keputusan ujian Kementerian Kesihatan Kemboja bahawa tiada penumpang positif ketika pemeriksaan dijalankan hasil kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Wabak AS.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ujian ulangan ke atas wanita AS berusia 83 tahun dan suaminya 85 tahun dilakukan lewat malam tadi.
"Keputusan ujian ulangan masih sama iaitu positif bagi isteri dan negatif bagi suaminya.
"Kita tidaklah mahu mempertikaikan. Tetapi apa yang kita buat, apabila sampai kepada kita...kita jagalah.
"Dari segi Kemboja mereka sudah buat apa yang mereka rasa, kita buat apa yang kita perlu (ujian). Mereka hanya lakukan ujian rambang terhadap 20 penumpang, saya rasa kurang dari 10 peratus (penumpang)," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Terdahulu Wan Azizah mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi berhubung Covid-19.
Pasangan suami isteri warganegara AS yang dikesan bergejala itu merupakan antara penumpang penerbangan sewa khas (MH8763) yang membawa 145 orang penumpang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 Februari 2020.
Kesemua penumpang berkenaan adalah sebahagian daripada penumpang Kapal Persiaran Westerdam yang berlabuh di Kemboja.
Media melaporkan pihak berkuasa Kemboja menggesa Malaysia untuk menyemak semula ujian yang dijalankan berikutan ujian saringan dijalankan pihaknya mendapati tiada di antara penumpang berkenaan dijangkiti virus tersebut.
Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, 143 penumpang telah melepasi saringan dan tidak bergejala yang mana 137 daripadanya telah meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
"Baki enam orang masih menunggu penerbangan sambungan ke destinasi masing-masing dan akan menjalani ujian pengesanan Covid-19.
"Sekiranya ujian tersebut disahkan negatif, akan dibenarkan meneruskan perjalanan. Namun sekiranya didapati positif, penumpang tersebut akan dibawa ke hospital bagi pemantauan kesihatan selanjutnya," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu Covid-19, Kementerian Kesihatan mengesahkan satu kes melibatkan seorang wanita warganegara China yang sebelum ini dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru, telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang semalam.
Wan Azizah berkata, tiada kes baharu dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kes Covid-19 yang masih menerima rawatan di wad adalah seramai 14 orang dan jumlah kes yang telah discaj adalah seramai lapan orang.
"Bagi lapan kes yang telah discaj, mereka telah menjalani ujian pengesanan ulangan Covid-19 dan didapati negatif sebanyak dua kali berturut-turut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!