Strategi kerajaan tangani kesesakan ketika musim perayaan
PENGUMUMAN mengenai inisiatif tol percuma pada 23 dan 24 Disember ini sempena perayaan Hari Krismas tentunya menggembirakan orang ramai.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, tol percuma akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya bermula jam 12.01 tengah malam Isnin ini (23 Disember) hingga 11.59 malam, 24 Disember (Selasa).
Bagaimanapun, beliau berkata, pengecualian tol itu hanya diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol, kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.
Dari segi manfaat pelaksanaan tersebut, sudah pasti ia mengurangkan beban kewangan kepada pengguna jalan raya terutama mereka yang mempunyai dana perbelanjaan yang terhad.
Sekurang-kurangnya, inisiatif berkenaan membolehkan masyarakat mengagihkan kos yang dibelanjakan untuk tol kepada perbelanjaan yang lain.
Namun begitu, pemberian tol percuma tersebut dijangka turut memberi kesan dari segi peningkatan jumlah kenderaan pada hari berkenaan.
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Sazali Harun pada Sabtu berkata, aliran trafik di lebuh raya utama dijangka meningkat dengan ketara mencecah sebanyak 2.55 juta kenderaan sehari menuju ke wilayah timur, utara, dan selatan, sempena cuti sambutan Krismas dan cuti sekolah hujung tahun.
Menurut beliau, sebanyak 2.12 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya di bawah kumpulan PLUS.
Ujarnya, ia termasuk 188,130 kenderaan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak; 87,380 di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1; 39,830 di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2; dan 115,590 di Lebuh Raya Pantai Barat (WCE).
Peningkatan yang mendadak itu tentunya mendorong kepada kesesakan lalu lintas sempena perayaan berkenaan lebih-lebih lagi mereka yang ingin melancong ke kawasan tarikan pelancongan.
Orang ramai boleh membuat beberapa persediaan seperti merancang perjalanan lebih awal, melakukan pemeriksaan kenderaan, menyediakan wang tunai yang cukup, peralatan kecemasan, makanan dan minuman.
Apa yang lebih penting, strategi kerajaan dan pihak berkepentingan bagi menangani kesesakan jalan raya juga perlu dilaksanakan dengan segera.
Ini bagi memastikan kawalan serius dapat dilakukan oleh pihak berkuasa sekali gus mengawal risiko kemalangan jalan raya yang boleh menyebabkan kepada kematian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!