Zaid cadang lantik AG dalam kalangan ahli Parlimen
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan dicadang mengambil langkah untuk mengelakkan kejadian terburu-buru dalam pendakwaan kes-kes politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan melantik Peguam Negara (AG) yang juga Pendakwa Raya dalam kalangan ahli Parlimen seperti dilakukan di England.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, cadangan tersebut adalah satu-satunya cara untuk memastikan AG bertanggungjawab atas keputusan yang dilakukan Pejabat Pendakwa Raya.
“Sementara itu, Pejabat Pendakwa Raya juga perlu dipisahkan daripada Jabatan Peguam Negara agar menjadi unit yang bebas dan dibiayai secara berasingan.
“Biarkan ia diuruskan oleh peguam (kerajaan dan swasta) yang kenaikan pangkat dan keselamatan perkhidmatannya tidak bergantung kepada Peguam Negara,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan pembabitannya dalam kes mahkamah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau sebaliknya menyatakan bahawa beberapa pendakwaan yang dibuat selepas PRU14 dibuat terburu-buru sehingga banyak 'kecacatan'.
Mengulas mengenai kenyataan tersebut, Mohd Zaid memberitahu bahawa perubahan sedemikian akan menamatkan zaman AG berdiam diri dan tidak bertanggungjawab kepada rakyat.
“Ia akan menjadikan Anwar sebagai seorang reformis sebenar dan mungkin membawa kepada kemenangan pilihan raya semula.
“Perdana Menteri harus dipuji atas kenyataannya yang jujur itu. Kini, beliau hanya perlu mengambil beberapa langkah mudah untuk mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!