Program Pembangunan SIFC bersama TFC bina keyakinan diri
KUALA NERUS - Program Pembangunan dan Santai Minda Saujana Impian Football Club (SIFC) 2024 ke Terengganu FC (TFC) selama tiga hari bermula Sabtu lalu melibatkan penyertaan seramai 76 pemain serta barisan kejurulatihan dari kelab bola sepak, SIFC.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Mohd Sabri Abas berkata, program itu dapat dijadikan sebagai landasan terbaik kepada pemain SIFC untuk membina keyakinan diri melalui aktiviti diadakan selain membuka minda pemain SIFC dengan suasana serta pengalaman yang baharu.
Menurutnya, ia juga memberikan inspirasi kepada barisan kejurulatihan dan pemain SIFC dalam merancang corak latihan, taktikal dan permainan yang lebih berkesan bagi setiap penyertaan dalam pelbagai kejohanan bola sepak.
"SIFC terdiri daripada 26 pemain U12; 25 pemain U14; 25 pemain U16 dan barisan kejurulatihan. Jadi ini merupakan langkah terbaik untuk memperkasakan dunia bola sepak akar umbi dalam peringkat komuniti.
"Ini bagi meneroka peluang pembangunan sehingga ke peringkat negeri secara ke keseluruhannya," katanya kepada Sinar Harian di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohd Sabri berkata, rasional program itu diadakan bagi menjadikan TFC sebagai organisasi rujukan kepada SIFC.
"Ini merupakan suatu langkah terbaik disebabkan TFC merupakan pasukan bola sepak profesional yang mewakili negeri Terengganu dalam liga bola sepak Malaysia selain tersenarai dalam kelompok elit Liga Malaysia iaitu Liga Super Malaysia; Piala FA Malaysia; Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih mahupun ke peringkat Asia," katanya.
Mohd Sabri berkata, antara pengisian sepanjang program bermula 21 hingga 23 Disember ini melibatkan aksi perlawanan persahabatan dengan pasukan terbaik akar umbi negeri seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri; Akademi Tunas NFDP Kuala Terengganu; Kerteh FC dan Young Titans Football Club.
"Selain itu Klinik Bola Sepak dengan barisan jurulatih dan pemain berpengalaman dalam Liga Malaysia seperti Hairuddin Omar; Haris Safwan; Rosdi Talib dan Ismail Faruqi.
"Taklimat dari kelab bola sepak berjaya dalam pembangunan akar umbi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kerteh FC, Syed Khairi Amier Syed Radzuan turut diadakan.
"Selain itu, pemain SIFC berpeluang meneroka dunia pengurusan dan fasiliti stadium bola sepak Liga Malaysia seperti Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin serta berpeluang menyaksikan secara langsung pemain senior beraksi dalam Liga Super Malaysia seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid ketika perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia antara TFC dengan Negeri Sembilan FC," ujarnya.
Sementara itu, jurulatih U12 SIFC, Abu Hassan Abu Bakar menyatakan program tersebut bukan sahaja memberi pendedahan terhadap pemain muda dari aspek teknikal perlawanan bola malah membina keyakinan diri mereka.
"Ia dapat memberi keyakinan kepada pemain SIFC untuk berhadapan dengan dunia luar dan masyarakat.
"Mereka berpeluang didedahkan dengan aspek dari segi disiplin dan keyakinan diri anak-anak muda ini sekali gus dapat melahirkan pemain mahupun jurulatih yang hebat dan terbaik pada masa akan datang," katanya.
SIFC merupakan kelab bolasepak yang bertapak di Kajang, Selangor dan berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia di bawah penyeliaan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
Ia ditubuhkan untuk memartabatkan pembangunan sukan bola sepak di peringkat akar umbi seawal usia enam hingga 16 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!