112 rumah dan sebuah masjid rosak dipukul ribut

Sebanyak 112 rumah terjejas termasuk 11 roboh akibat dipukul ribut dalam kejadian di empat perkampungan atas air di Semporna pada Ahad.
Sebanyak 112 rumah terjejas termasuk 11 roboh akibat dipukul ribut dalam kejadian di empat perkampungan atas air di Semporna pada Ahad.
A
A
A

SEMPORNA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 112 rumah terjejas termasuk 11 roboh akibat dipukul ribut dalam kejadian di empat perkampungan atas air di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, angin kencang dan ribut itu turut menyebabkan sebuah masjid dan 20 kenderaan rosak ditimpa atap dan tiang elektrik yang runtuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.21 pagi dan seramai lapan anggotanya dan enam lagi anggota BBP Atas Air Semporna dikejar ke lokasi kejadian untuk memantau keadaan.

"Sebaik tiba, memang benar terdapat rumah di Kampung Selamat, Kampung Seri Aman, Kampung Sejati dan Kampung Batu roboh dan rosak dengan jumlah keseluruhan sebanyak 112 rumah.

"Selain itu, turut berlaku wayar elektrik terputus yang boleh menyebabkan litar pintas berpunca daripada angin kencang.

"Kenderaan yang diletakkan di kawasan berhampiran juga turut ditimpa atap dan tiang elektrik yang roboh dalam kejadian tersebut," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Katanya lagi, pemantuan tersebut turut dilakukan bersama pihak Sabah Electricity bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi.

"Hasil pemeriksaan tiada mangsa dilaporkan terlibat namun penduduk diarahkan keluar ke kawasan selamat.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini juga, penduduk yang terjejas terpaksa berlindung di rumah keluarga masing-masing," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!