Pas pertikai tindakan PM mahu adakan PRU lebih awal
SHAH ALAM - Pas mempertikaikan tindakan kerajaan yang memiliki keinginan untuk melaksanakan pilihan raya umum (PRU) dalam masa terdekat kerana keyakinan akan memperoleh kemenangan.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, keinginan berkenaan tidak bertepatan dengan situasi terkini yang dihadapi oleh rakyat.
“Kasihan kepada rakyat, sewaktu rakyat bergelut dengan kos sara hidup semakin tinggi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata... jika buat PRU sekarang, kerajaan akan menang.
“Nasiblah rakyat mendapat kerajaan seperti hari ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, Anwar menyuarakan keyakinan Kerajaan Madani mempunyai kelebihan memenangi PRU jika diadakan dalam tempoh terdekat.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, keyakinan tersebut berdasarkan kerangka pentadbirannya yang mementingkan aspek pengurusan ekonomi.
Pada masa sama, Anwar turut menyentuh mengenai prestasi Kerajaan Madani dan barisan Jemaah Menteri sepanjang dua tahun pentadbiran yang mana masih boleh diperbaiki pada masa depan.
Menteri Kewangan itu juga mengakui terdapat prestasi barisan menteri yang dikategorikan sebagai cemerlang dan ada juga yang masih di tahap sederhana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!