Dua beranak buntu rumah berusia 30 tahun runtuh dihanyut banjir
RANTAU PANJANG - Dua beranak dari Kampung Che Daah, To'Deh di sini buntu memikirkan nasib mereka selepas kediaman yang berusia 30 tahun runtuh akibat dihanyutkan banjir pada 26 November lalu.
Lebih menyayat hati lagi apabila Fauzi Mohamad, 52, dan ibunya, Fatimah Hamat, 74, hanya sempat membawa tiga helai baju bersama kain semasa keluar menyelamatkan diri kerana air naik dengan cepat.
Fatimah berkata, semasa hari kejadian arus di kawasan rumahnya sangat deras serta kedalaman mencecah hampir tiga meter sekali gus memaksa dia dan anak menyelamatkan diri ke rumah saudara mara yang terletak di atas bukit.
"Sepanjang 30 tahun saya tinggal di sini, inilah banjir paling teruk berlaku. Sebelum ini, setiap kali musim tengkujuh air hanya di luar rumah sahaja tetapi sejak pembinaan benteng di Sungai Golok, kami terpaksa berpindah.
"Kali pertama rumah ini dilanda banjir pada tahun 2022 air menenggelamkan rumah paras dua meter. Kali ini hanya kelihatan bumbung serta dihanyutkan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurut ibu kepada tujuh orang anak itu, rumahnya kini tersangkut pada pokok rambutan serta kelapa selepas dihanyutkan arus deras banjir.
Ujarnya, bagaimanapun barangan di dalam rumah semuanya rosak dan ada dihanyutkan.
Fatimah memberitahu, dia dan anak lelakinya yang merupakan duda serta bekerja kampung kini hanya mampu menumpang rumah saudara-mara.
"Sudah hampir sebulan kami menumpang. Hendak baiki rumah kami tidak mampu," katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional 03116-29-00004682-2.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!