Kucing mati di UM diserang anjing liar - Polis
KUALA LUMPUR - Siasatan polis mendapati kematian kucing di Universiti Malaya (UM) di sini, baru-baru ini dipercayai akibat serangan anjing liar.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah menerima tiga laporan polis berhubung kejadian kematian kucing itu pada Isnin, Jumaat dan Sabtu.
"Tiada saksi yang melihat kejadian itu, namun melalui hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan tersebut mendapati terdapat sekumpulan anjing liar bertindak menyerang kucing-kucing berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Rusdi berkata, pihaknya telah merujuk perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
"Kita telah menerima pengesahan kecederaan yang dialami ke atas kematian kucing-kucing itu adalah disebabkan serangan anjing liar," katanya.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu bagi mengelakkan berlaku kegelisahan terhadap masyarakat.
"Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat disarankan untuk menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.
"Selain itu, orang ramai juga turut boleh menyalurkan sebarang aduan sekiranya terdapat kes penganiayaan terhadap mana-mana haiwan kepada pihak veterinar di pautan awa.dvs.gov.my. agar tindakan tegas dapat diambil ke atas mana-mana individu yang membuat zalim ke atas haiwan," katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai seekor lagi kucing ditemui mati dengan keempat-empat kaki hilang di UM.
Rabu lalu, media melaporkan dua ekor kucing yang ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM bukan akibat perbuatan kejam manusia, sebaliknya diserang anjing liar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!