Kelantan perlukan pusat sokongan psikososial, transit pesakit kanser - NCSM
KOTA BHARU - Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) melihat keperluan segera sebuah pusat sokongan dan transit untuk pesakit kanser di negeri ini.
Pengurus Program Kanser Dewasa NCSM, Mohd Fadzrel Abu Bakar berkata, keperluan itu dilihat meruncing berdasarkan maklum balas diterima pihaknya melalui hampir 50 pesakit kanser yang dilawati dalam Misi Bantuan Banjir selama tiga hari di negeri ini.
“Kelantan nampaknya memang amat memerlukan pusat sokongan kerana ramai pesakit kanser tak tahu di mana mereka nak dapatkan sokongan terutamanya psikososial.
“Mungkin dari segi asas pemakanan mereka boleh dapat tetapi sokongan sosial iaitu bagaimana nak menangani stres dan mendapatkan nasihat-nasihat pemakanan, jika tak selera makan atau tak boleh makan nasi, untuk tahu apa-apa lagi yang boleh dimakan,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Mohd Fadzrel sebelum itu bersama 15 sukarelawan NCSM dan Himpunan Kanser Semalaya (HKS) termasuk pejuang kanser menyampaikan bantuan makanan, pakaian dan susu kepada pesakit kanser terjejas banjir di Tumpat, Kota Bharu dan Pasir Mas.
Beliau mengulas, pihak persatuan juga nampak dengan lebih jelas keperluan menambah baik perkhidmatan sokongan NCSM sedia ada di Kuala Lumpur dan di beberapa negeri.
Katanya, cadangan untuk memperluas perkhidmatan NCSM ke Kelantan seperti yang akan diusulkan itu diyakini akan mendapat sambutan baik daripada kerajaan negeri ini.
“NCSM menyediakan khidmat sokongan secara percuma terutama kepada B40 dan memiliki rumah transit di beberapa negeri tetapi tidak ada di Kelantan.
“Transit ini antara yang kami akan usulkan pada masa akan datang bagi memenuhi keperluan pesakit kanser terutama sekali yang berada di tahap pertengahan seperti kami jumpa pada beberapa hari lalu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi HKS, Sarlinawati Abdul Mues, berkata, pentingnya pejuang kanser menyertai kumpulan sokongan kerana boleh membantu mereka dari segi emosi dan motivasi selain saluran untuk mendapatkan alatan perubatan contoh katil serta kerusi roda.
“Rata-rata pesakit yang kami jumpa tak tahu ada kelab sokongan untuk mereka mendapatkan maklumat mengenai kanser dan cara untuk mengurus emosi, bahkan ada yang sampai ke India nak dapatkan maklumat serta jual tanah untuk kos rawatan.
“HKS terdapat di seluruh negara dengan 1,926 keahlian ketika ini manakala di Kelantan lebih 100 ahli dan berharap lebih ramai akan menyertai kelab sokongan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!