25 tan al-Quran rosak tenggelam banjir di 3 negeri

Nik Yusaimi (tengah) membelek helaian al-Quran yang rosak terkena bah. Foto SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Nik Yusaimi (tengah) membelek helaian al-Quran yang rosak terkena bah. Foto SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

PASIR MAS - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumpul 55,000 naskah al-Quran yang rosak akibat tenggelam banjir di tiga negeri terjejas pada gelombang pertama dan kedua Monsun Timur Laut (MTL) baru-baru ini.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, al-Quran itu diterima daripada mangsa banjir dan masjid yang dilanda bencana di Kelantan, Terengganu serta Kedah.

Menurut beliau, jumlah itu dijangka meningkat ke 150,000 naskah al-Quran yang terjejas banjir di seluruh negara sehingga akhir monsun pada Mac nanti.

Nik Yusaimi (empat dari kiri) dan kakitangan KDN mengumpulkan al-Quran rosak akibat banjir. Foto SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.
Nik Yusaimi (empat dari kiri) dan kakitangan KDN mengumpulkan al-Quran rosak akibat banjir. Foto SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

“Inisiatif mengumpulkan al-Quran rosak ini bermula pada 4 Disember lalu dan setakat ini sejumlah 55,000 naskah atau 25 tan al-Quran musnah akibat tenggelam banjir diterima oleh KDN.

“Kelantan ialah negeri tertinggi penghantaran jumlah al-Quran rosak iaitu sebanyak 12.5 tan atau 25,000 naskah dan dipercayai masih ada banyak lagi al-Quran tenggelam banjir akan dapat dikumpulkan selepas ini,” katanya pada sidang akhbar sempena Lawatan Kerja dan Solidariti ke Rumah Kakitangan terjejas banjir serta Gotong-royong di Masjid Taman Maka Utama di sini pada Isnin.

Pada program itu juga, komuniti setempat berpeluang menukarkan al-Quran yang rosak akibat tenggelam banjir kepada al-Quran baharu melalui sumbangan dan hibah daripada KDN kepada umum.

Nik Yusaimi mengulas, lima pusat pengumpulan al-Quran rosak khas dibuka di Kelantan sempena bencana banjir membabitkan masjid utama di daerah terlibat masing-masing dua di Bachok, Pasir Mas dan satu di Tumpat bagi memudahkan akses orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Nik Yusaimi (tiga dari kanan) menyampaikan al-Quran baharu kepada mangsa banjir, Zakaria Omar (tiga dari kanan). Foto SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Nik Yusaimi (tiga dari kanan) menyampaikan al-Quran baharu kepada mangsa banjir, Zakaria Omar (tiga dari kanan). Foto SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

“Di setiap daerah di negeri-negeri seluruh negara ada pusat pengumpulan al-Quran rosak sebelum al-Quran itu menjalani proses untuk dilupuskan dengan cara yang betul mengikut syarak.

“KDN juga bekerjasama dengan pejabat-pejabat agama, pihak berkuasa tempatan dan badan bukan kerajaan untuk membantu kami mengumpul al-Quran rosak,” katanya.

Menurut beliau, pelupusan al-Quran rosak akan dilakukan mengikut syarak iaitu tiga kaedah termasuk yang popular digunakan ialah menjadikan ke bentuk ketulan abu dan ditenggelamkan ke laut.

“Al-Quran ini akan dikeringkan terlebih dahulu dan bergantung kepada cuaca sebelum dijadikan abu seterusnya dimampatkan dan dilepaskan ke laut.

“Kaedah kedua pula teknik menghilangkan dakwat tulisan ayat Quran dan kertasnya dihancurkan serta dikitar semula menjadi kulit al-Quran tetapi perlu juga proses pengeringan terlebih dahulu untuk mendapatkan jumlah berat al-Quran kerana berat itu tidak boleh dikira sekali dengan berat air,” katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan orang ramai untuk menghantar al-Quran rosak kepada KDN untuk dilupuskan mengikut syarak bagi menjaga kemuliaan al-Quran.

“Jangan gunakan helaian al-Quran rosak sebagai kertas untuk membungkus makanan dan sebagainya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!