Tayar 'terbang' hentam kereta, pemandu treler disaman

Rakaman kamera papan pemuka kenderaan yang memaparkan detik cemas tayar treler tercabut dan menghentam sebuah kereta.
Rakaman kamera papan pemuka kenderaan yang memaparkan detik cemas tayar treler tercabut dan menghentam sebuah kereta.
A
A
A

JERANTUT - Perjalanan pulang tiga beranak bersama seorang rakan ke rumah bertukar detik cemas apabila sebiji tayar dari treler tercabut lalu menghentam kereta yang dinaiki mereka di Kilometer (KM) 14 Jalan Jerantut-Maran-Kuantan berhampiran Jambatan Sungai Salan di sini pada Sabtu.

Kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu turut tular di laman sosial hasil rakaman kamera papan pemuka kenderaan lain yang melalui laluan tersebut.

Mangsa, pegawai pemantau harga, Mohamad Afiq Syahmi Mohd Ramlan, 28, yang memandu kereta Honda City berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama isteri, anak perempuan berusia dua tahun dan seorang rakan isterinya dalam perjalanan dari Bandar Jengka ke Jerantut.

Menurutnya, kejadian itu berlaku sekelip mata dan tidak sempat mengelak tayar yang melayang ke arah kenderaannya.

"Saya nampak 'tayar terbang' dan bergolek ke arah kereta. Saya cuba mengelak ke kiri jalan, namun tayar itu menghentam bahagian hadapan kereta sebelum melanggar pintu kanan hadapan dan belakang.

Tayar yang tercabut daripada treler yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun pada Sabtu.
Foto ihsan PDRM
Tayar yang tercabut daripada treler yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun pada Sabtu. Foto ihsan PDRM

"Saya terus berhenti dan semua (penumpang) keluar dari kenderaan dan pergi ke kawasan selamat di tepi jalan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Ujarnya, treler terbabit tidak berhenti, namun berjaya dikejar oleh pengguna jalan raya lain yang kemudian menahan pemandu kenderaan berat tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya dimaklumkan pemandu treler itu tidak sedar tayar belakang sebelah kanan kenderaannya tercabut dan kemudiannya masing-masing membuat laporan polis hari yang sama," katanya.

Bersyukur dan lega kerana tiada kecederaan yang berlaku, Mohamad Afiq bagaimanapun mengakui masih trauma dengan kejadian terbabit.

"Masih ada rasa gigil dan takut untuk melalui laluan tersebut setakat ini," tambahnya.

Keadaan bahagian depan kereta rosak akibat dilanggar tayar treler yang tercabut. Foto ihsan PDRM
Keadaan bahagian depan kereta rosak akibat dilanggar tayar treler yang tercabut. Foto ihsan PDRM

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian terbabit.

Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan, kejadian berlaku semasa pemandu treler berusia 38 tahun dari arah Jerantut menuju ke Maran.

"Apabila sampai di tempat kejadian, sebiji tayar bahagian belakang sebelah kanan treler telah tercabut, bergolek dan menghentam Honda City yang datang dari arah bertentangan.

"Kemalangan ini hanya menyebabkan kerosakan kepada kenderaan terlibat dan tidak melibatkan kecederaan," jelasnya.

Katanya, saman telah dikeluarkan kepada pemandu treler terbabit dan kes disiasat di bawah Kaedah 94 LN 170/59.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!