Kejayaan anak Terengganu bukti pelumba Malaysia bukan jaguh kampung
KEJAYAAN cemerlang beberapa pelumba Malaysia yang meraih kedudukan podium dan ‘Jersi’, pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 yang melabuhkan tirainya semalam, membuktikan bahawa anak tempatan mampu memberi saingan kepada pelumba pasukan Jelajah Dunia (World Tour) dan pasukan profesional benua (Pro Continental) pada perlumbaan berbasikal terulung Asia itu.
Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff memecahkan dominasi pelumba pendaki dari benua Amerika Selatan dan Eropah, selepas merangkul Jersi Merah atau Raja Bukit pada edisi ke-25, sekali gus mencipta sejarah tersendiri, menjadi pelumba pertama Malaysia memenangi jersi berkenaan, sejak LTdL bermula pada 1996.
Anak jati Setiu, Terengganu itu turut mengungguli laluan berbukit pada perlumbaan pasca LTdL, perlumbaan antarabangsa Klasik Malaysia di Kuah, di sini, semalam, dan membolehkan beliau membawa pulang wang tunai RM1,000.
Kejayaan manis dilakar Muhamad Nur Aiman menyaksikan beliau mengulangi pencapaian dua pelumba negara dari Terengganu, iaitu Anuar Manan yang meraih Jersi Hijau selaku Raja Pecut pada 2010 dan Mohd Adiq Husainie Othman yang memenangi Jersi Putih selaku Pelumba Terbaik Asia pada 2016.
Lebih manis, TSC muncul pasukan tempatan pertama mengungguli kategori pasukan terbaik keseluruhan pada tahun ini, sekali gus memecahkan dominasi pasukan Jelajah Dunia dan Profesional Benua yang mengungguli kategori berkenaan sejak 1996.
Pelumba berpengalaman negara, Mohd Harrif Saleh dari pasukan Terengganu Inc. TSG Cycling Team pula menampilkan kayuhan bertenaga untuk meraih dua kemenangan peringkat, iaitu peringkat kelima dari Kuala Kubu Bharu ke Ipoh dan peringkat ketujuh dari Bagan ke Alor Setar.
Pencapaian luar biasa itu menyaksikan Mohd Harrif, atau lebih dikenali Mamat, mencipta sejarah menerusi tiga kemenangan peringkat. Mohd Harrif sebelum ini mencatat kemenangan peringkat sulung pada edisi 2019 setelah mengungguli peringkat kedua dari Dataran Senawang ke Melaka.
Mohd Harrif yang ditemui pemberita selepas berakhirnya saingan LTdL semalam, mendedahkan kejayaan dilakar pelumba tempatan pada kali berjaya menepis persepsi segelintir peminat yang melabelkan pelumba Malaysia sebagai 'jaguh kampung'.
Jelasnya, walaupun pelumba Asia bertubuh kecil berbanding pelumba Eropah dan benua Oceania namun kegigihan dan kesungguhan pelumba tempatan memburu kemenangan pada edisi kali ini, membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dicapai, sekiranya seseorang pelumba mempunyai visi dan matlamat yang jelas dalam mengharumkan nama Malaysia, di persada antarabangsa.
"Saya memang akui, kita sudah mencapai tahap sebaris dengan pelumba Jelajah Dunia dan Profesional Benua.
"Jika kita lihat, Anuar Manan pernah menang (Jersi Hijau) pada 2010, jadi saya rasa tak mustahil, ada pula pelumba Malaysia yang akan mengikuti jejak langkah mereka," menurut Mamat yang berasal dari Kuala Terengganu.
Ketua Pegawai Operasi Human Voyage (M) Sdn Bhd, Shahaizereen A. Hamid turut senada dengan Mohd Harrif selepas melihat kebangkitan mendadak dipamerkan pelumba tempatan pada edisi tahun ini, dan bertepatan dengan sambutan jubli perak LTdL.
"Alhamdulillah, jika kita lihat bersempenan penganjuran LTdL yang ke-25, kita sudah dapat peningkatan daripada beberapa pelumba negara, dan kelab (tempatan) itu sendiri, dan berdasarkan amanat yang disampaikan Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad), baru-baru ini, (pelumba) kita mampu untuk menaikkan nama Malaysia ke persada lebih tinggi," jelas Shahaizereen, yang berpuashati dengan perjalanan LTdL 2020, sambil memberi bayangan beberapa penambahan lokasi baharu pada tahun depan susulan permintaan beberapa kerajaan negeri yang berhasrat menjadi tuan rumah.
Mengimbau perjalanan LTdL 2020, pelbagai ranjau perlu dilalui Human Voyage selaku penganjur perlumbaan berbasikal tahunan berkenaan termasuk kekurangan penyertaan pasukan Jelajah Dunia, pertukaran tarikh kejohanan, selain penyebaran virus COVID-19 namun kerjasama erat semua pihak terutama 21 pasukan bertanding, dan pihak logistik yang bertungkus lumus bekerja di setiap lokasi perlumbaan, berjaya memastikan kelancaran perlumbaan tersebut.
Kehadiran LTdL di beberapa lokasi di Sabah dan Sarawak serta di Semenanjung, turut memberi limpahan rezeki kepada penduduk desa untuk mempamerkan produk masing-masing bukan sahaja kepada keseluruhan kru LTdL, malahan kepada pelancong asing.
Penambahan beberapa pasukan Jelajah Dunia dari Eropah pada tahun depan, diharap dapat menambah kemeriahan LTdL yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelumba terkemuka dari benua Eropah dan Amerika Selatan, sekali gus meletakkan LTdL berada sebaris dengan beberapa perlumbaan berbasikal terkemuka dunia, seperti Vuelta a Espana, Giro d'Italia dan Tour de France. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!