Sinar Harian adakan Jelajah Sinar Untuk Rakyat di Perlis
SHAH ALAM - Sinar Harian bakal membuka tirai tahun 2025 dengan program jelajah berkonsepkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu dan memperkasakan kelompok masyarakat di seluruh negara iaitu Jelajah Sinar Untuk Rakyat.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, lokasi pertama jelajah berkenaan akan diadakan di Masjid Jamek Beseri dan Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri, Perlis pada 4 dan 5 Januari depan.
“Jelajah di negeri paling utara Semenanjung itu bakal disempurnakan majlis perasmiannya oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
“Program kenduri sekampung, penyerahan bantuan kepada asnaf dan ceramah motivasi kepada pelajar itu diadakan dengan kolaborasi penaja utama Yayasan Bank Rakyat (YBR),” katanya pada Ahad.
Dalam pada itu, Zamri turut menzahirkan penghargaan kepada Masjid Jamek Beseri kerana bersama-sama dalam menyusun dan merancang program berkenaan sejak beberapa bulan lalu.
Berkongsi acara pada hari pertama, beliau berkata, jawatankuasa khas masjid bersama orang kampung akan menyediakan pelbagai juadah untuk kenduri sekampung.
“Kita akan 'menumbangkan' seekor lembu untuk kenduri pada hari itu. Selain kenduri, 200 bakul rezeki akan diagihkan kepada asnaf dan golongan kurang berkemampuan.
“Pada hari kedua pula, satu program ceramah motivasi akan diadakan di Dewan IKM Beseri,” ujarnya.
Sehubungan itu, Zamri amat mengalu-alukan penduduk di Beseri untuk hadir beramai-ramai ke Jelajah Sinar Untuk Rakyat.
Bukan itu sahaja, beliau turut berharap agar pelajar-pelajar yang berada di kawasan berkenaan untuk mendaftar penyertaan diri bagi mengikuti ceramah motivasi.
Jelas beliau, program jelajah tersebut adalah sebahagian daripada usaha Sinar Harian dan YBR untuk menghargai pembaca serta berusaha membantu segenap lapisan masyarakat Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!