Guru sekolah memandu dikesan tak pakai tali pinggang keledar ketika mengajar
SHAH ALAM - Tidak memakai tali pinggang keledar selain menggunakan kenderaan yang tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan antara kesalahan dikesan dalam Operasi Khas Institut Memandu baru-baru ini.
Tenaga pengajar yang ditahan melakukan kesalahan terbabit turut memberikan alasan terlupa selain mendakwa mahu mempercepatkan sesi pengajaran terhadap pelajar.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi khas itu dijalankan melibatkan 26 institut memandu bermula 15 sehingga 20 Disember lalu.
"Operasi ini turut melibatkan pemeriksaan 164 buah kenderaan yang digunakan untuk sesi pengajaran.
"Antara kesalahan ketara dikesan adalah pengajar tidak memakai tali pinggang keledar semasa memandu serta kesalahan teknikal terutamanya melibatkan spesifikasi kenderaan digunakan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Katanya, tujuh notis dikeluarkan JPJ atas pelbagai kesalahan termasuk melibatkan kesalahan dilakukan tenaga pengajar.
"Tindakan dijalankan melibatkan tiga notis saman, dua notis arah periksa kenderaan dan dua notis larangan penggunaan kenderaan.
"Antara diberikan fokus dalam operasi ini adalah permit institut memandu, sijil mengajar serta kenderaan yang digunakan ketika mengajar," katanya.
Menurutnya, operasi itu untuk memastikan pihak institut memandu mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.
"Pemeriksaan menyeluruh dibuat terhadap kenderaan institut memandu (SKIM) yang digunakan berada dalam keadaan baik serta selamat untuk tujuan pembelajaran di litar dan jalan raya.
"Selain itu, tenaga pengajar institut memandu juga perlu dipastikan memegang sijil pengajar yang sah untuk mengajar calon-calon belajar memandu," katanya.
Tegasnya, institut memandu diingatkan untuk sentiasa mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.
"Pematuhan undang-undang serta memberi perkhidmatan yang terbaik kepada calon-calon belajar memandu dapat melahirkan pemandu yang kompeten di atas jalan raya.
"Penguatkuasaan secara berterusan akan dilakukan bagi memastikan institut memandu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!