Pasu pecah depan Istana Arau bukan perbuatan khianat - MPK
ARAU - Beberapa pasu yang menghiasi sepanjang jalan berdekatan Istana Arau pecah dipercayai dilakukan seorang individu pada pagi Sabtu.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, berdasarkan maklumat orang ramai dan video tular di media sosial, kelihatan lelaki berkenaan dengan sengaja menolak pasu hiasan jatuh sehingga pecah.
Menurut Affendi, bagaimanapun ia bukan perbuatan khianat oleh pihak tertentu sebaliknya dilakukan tanpa sedar berikutan lelaki berkenaan mengalami masalah kesihatan.
“Saya dimaklumkan oleh kakitangan MPK berhubung kejadian itu.
"Lebih 10 pasu hiasan rosak dan pecah selepas ditolak di tepi jalan raya berdekatan Istana Arau dan di hadapan makam Jalan Istana," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurutnya, tiada kerosakan lain dilaporkan dalam kejadian tersebut.
“Laporan polis telah dibuat oleh MPK termasuk pihak kontraktor terlibat berhubung kejadian itu.
“Saya serahkan sepenuhnya kepada polis untuk tindakan lanjut dan difahamkan sudah ada tangkapan dibuat,” katanya.
Sejak Sabtu, beberapa video tular berkaitan kejadian dimuat naik di laman sosial menunjukkan perbuatan seorang lelaki menolak pasu hiasan sehingga pecah.
Beberapa netizen meluahkan rasa bimbang dengan kejadian itu kerana berlaku secara terbuka dan di tempat awam, selain menyifatkan perbuatan agresif itu sebagai di luar dugaan.
Namun segelintir netizen sudah maklum dengan keadaan kesihatan individu berkenaan yang dikenali mereka kerana sering berada di sekitar bandar tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi mengesahkan tangkapan ke atas lelaki tempatan berusia 42 tahun yang dikaitkan dengan kes berkenaan.
“Suspek ditahan sejurus perkara tersebut dilaporkan kepada pihak berkuasa.
"Dia mengaku memecahkan pasu bunga di hadapan Istana Arau ketika soal siasat dilakukan.
“Polis turut merampas sehelai baju dan seluar jeans milik suspek,” katanya.
Ahmad Mohsin memaklumkan, hasil ujian air kencing mendapati suspek bebas pengaruh dadah selain mempunyai dua rekod jenayah di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.
“Suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan akan dirujuk ke Jabatan Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk rawatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!