Sikap lewa pemerintah Jerman jadi punca?

Orang ramai memberi penghormatan kepada mangsa di tugu peringatan sementara berhampiran lokasi rempuhan berdarah di Magdeburg. - Foto: Agensi
Orang ramai memberi penghormatan kepada mangsa di tugu peringatan sementara berhampiran lokasi rempuhan berdarah di Magdeburg. - Foto: Agensi
A
A
A

BERLIN - Pemerintah Jerman pada Ahad berdepan soalan bertubi-tubi dan kemarahan orang ramai selepas beberapa media mendakwa tragedi rempuhan berdarah di pasar Krismas sebenarnya boleh dicegah jika ancaman itu diambil secara serius.

Akhbar Die Welt memetik sumber keselamatan mendedahkan polis negeri dan persekutuan telah melakukan penilaian risiko terhadap suspek warga Arab Saudi, Taleb al-Abdulmohsen pada tahun lalu, namun membuat kesimpulan secara melulu bahawa dia tidak mengancam keselamatan negara meskipun kebanyakan catatan di media sosial pelaku itu berunsur ugutan.

Pelaku itu juga berpandangan anti-Islam dan ternyata tidak puas hati dengan dasar migran serta pemohon suaka dilaksanakan Berlin.

Canselor Jerman, Olaf Scholz mengecam tragedi menggemparkan itu yang turut meragut lima nyawa termasuk kanak-kanak berusia sembilan tahun manakala lebih 200 dilaporkan cedera ketika komuniti setempat sedang membuat persiapan untuk meraikan Hari Natal.

Suspek didakwa memandu kenderaan jenis SUV dengan laju secara sengaja ke arah orang ramai di bandar Magdeburg pada Jumaat lalu.

Difahamkan, Abdulmohsen, 50, adalah seorang doktor psikiatri dan telah menetap di Berlin selama hampir 20 tahun.

Menerusi wawancara bersama AFP pada 2022, dia pernah menggambarkan dirinya sebagai seorang ateis dan sentiasa berkongsi sentimen Islamofobia dan unsur kebencian di platform media sosial.

Sehingga kini, pihak berkuasa masih menyiasat motif sebenar dia berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Taha al-Hajji di Pertubuhan untuk Hak Asasi Manusia berpusat di Berlin percaya Abdulmohsen yang kini ditahan pihak berkuasa mengalami gangguan psikologi dengan rasa penting diri yang melampau hingga mendorongnya bertindak di luar kawalan.

Dalam perkembangan berkaitan, perkhidmatan rahsia di Riyadh dilaporkan telah memberi amaran awal tentang suspek pada 2023 dan 2024 berdasarkan pandangan ekstremisme yang dimuat naik di platform X yang secara terang-terangan mengancam keamanan dan keselamatan.

Kementerian Hal Ehwal Luar Saudi dalam satu kenyataan turut menzahirkan simpati terhadap keluarga mangsa dan komuniti yang terkesan tragedi itu.

Riyadh sekali lagi mengulangi pendirian mereka dan senada dengan Liga Muslim Sedunia yang menentang sebarang bentuk keganasan.

Sebagai langkah berjaga-jaga menjelang musim perayaan, kawalan keselamatan telah dipertingkatkan di kesemua pasar Krismas di seluruh negara termasuk mengerahkan pasukan polis di Hamburg, Leipzig dan bandar berisiko lain. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!