'Kami mahu jumpa tuan tanah'

Penduduk berkumpul seawal jam 9 pagi bagi mendapatkan status terkini tentang pemilikan tanah terbabit.
Penduduk berkumpul seawal jam 9 pagi bagi mendapatkan status terkini tentang pemilikan tanah terbabit.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kira-kira 400 penduduk Kampung Baru Pulau Tiga yang bermastautin di kawasan itu meminta pemilik tanah berkenaan turun padang sebelum tindakan pengusiran dilakukan pada 1 Mac nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Baru Pulau Tiga, Sungai Layar, Sungai Petani, Saheme Hashim berkata, tindakan itu bagi membolehkan penduduk dan pemilik tanah bertemu serta berbincang dalam mencari penyelesaian terbaik tanpa sebarang kekecohan.

Menurutnya, penduduk akur arahan pengosongan seperti mana diarahkan mahkamah namun pihaknya merayu agar sedikit pampasan diberikan sebagai ganti rugi.

"Ada yang tinggal di sini sejak 1964 lagi dan kebanyakan mereka mahu mempertahankan tanah ini kerana telah berhabis puluhan ribu ringgit untuk membina rumah dan sebagainya.

"Sebelum ini, penduduk ada membuat semakan di pejabat tanah dan daerah tentang status tanah di sini yang dikatakan milik kerajaan dan akan dibangunkan projek kerajaan pada masa hadapan. Ketika itu penduduk berhasrat membuat Permohonan Pendudukan Sementara (TOL).

"Bagaimanapun, secara tiba-tiba sahaja dapat arahan perlu keluar kerana dikatakan mempunyai hak milik individu tertentu melalui notis yang dihantar sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Saheme berkata, perkara itu pernah dibawa ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan namun akhirnya, tidak berjaya apabila tindakan pengosongan tanah telah mendapat kebenaran mahkamah.

"Kami tahu kena kosongkan tanah tetapi berilah peluang kami bertemu pemilik tanah untuk berbincang kerana sebelum ini kami hanya berjumpa wakilnya sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Atas dasar kemanusiaan, kami juga memohon agar diberi pampasan sewajarnya memandangkan penduduk di sini terdiri daripada pelbagai golongan termasuk warga emas, ibu tunggal dan mereka yang kerja sendiri," katanya.

Difahamkan, kampung berkenaan yang dipugar sejak tahun 60-an mempunyai kira-kira 100 buah rumah termasuk sebuah surau yang dibina atas tanah tersebut.

Hari ini, notis pengosongan tanah dari Bailif Mahkamah Tinggi Alor Setar telah dihantar oleh peguam dan wakil tuan tanah kepada penduduk terlibat.

Notis berkenaan menyebut antaranya pada 1 Mac 2020 atau sebelumnya, penghuni diperintahkan secara aman memindahkan kesemua barang dan meninggalkan tempat berkenaan.

Sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan menggunakan kekerasan untuk mendapatkan semula harta tersebut boleh dilakukan.

Penyerahan notis yang dilakukan di surau kampung itu turut disaksikan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai, Mejar Anuar Abdul Hamid.

Bagaimanapun, usaha Sinar Harian mendapatkan maklum balas wakil pemilik tanah tidak berhasil apabila pihak berkenaan enggan ditemuramah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!