Anggota polis dikhuatiri lemas, dihanyut arus deras tali air

Seorang anggota polis dikhuatiri lemas ketika mandi di tali air dekat Changkat Lada, Kampung Gajah pada Ahad. Foto Bomba Perak
Seorang anggota polis dikhuatiri lemas ketika mandi di tali air dekat Changkat Lada, Kampung Gajah pada Ahad. Foto Bomba Perak
A
A
A

PASIR SALAK - [DIKEMAS KINI] Seorang anggota polis dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi berhampiran tali air pintu gerbang Changkat Lada, Kampung Gajah di sini pada Ahad.

Laporan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Gajah pada jam 2.47 petang melibatkan anggota lelaki berpangkat koperal berusia 39 tahun.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat awal memaklumkan, semasa kejadian mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah melakukan aktiviti mandi bersama rakan-rakannya.

Menurutnya, mangsa dikatakan keletihan dan cuba berenang ke tebing, namun arus deras menghanyutkannya.

"Operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan di lokasi kejadian dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Teluk Intan.

"Anggota bertindak membuat pencarian di sekitar tebing dan selaman di kawasan lokasi terakhir mangsa kelihatan.

"Sehingga jam 7.30 malam, tiada tanda-tanda mangsa dijumpai," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Anggota membuat pencarian mangsa dengan menyusuri tebing di sepanjang tali air. Foto Bomba Perak
Anggota membuat pencarian mangsa dengan menyusuri tebing di sepanjang tali air. Foto Bomba Perak

Beliau berkata, bomba telah meminta bantuan Unit Pengesan (K9) bagi membantu operasi pencarian.

"Operasi pemantauan secara surface searching akan dijalankan pada sebelah malam ini dan operasi penuh akan disambung esok hari (Isnin)," katanya.

Difahamkan mangsa yang bertugas di Bahagian Bilik Gerakan itu baru sahaja selesai menghadiri majlis reunion sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changkat Lada.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!