Sultan Pahang, Tengku Ampuan zahir takziah kepada Setiausaha Kerajaan Pahang
KUANTAN - Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Zulkifli Yaacob dan keluarga atas pemergian bapa beliau Yaacob Abd Rashid hari ini.
Turut menzahirkan ucapan takziah Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan jenazah Allahyarham Yaacob telah disempurnakan di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tebal, Temerloh selepas solat Zohor.
"Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut hantaran itu.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut mengucapkan takziah kepada Zulkifli atas kehilangan bapanya yang meninggal dunia pada 1.30 pagi tadi.
"Saya berharap Zulkifli serta keluarga diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan ini," kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!