Steven Sim bantu tujuh sekeluarga tinggal dalam kereta

Keperitan tujuh sekeluarga yang terpaksa tinggal di dalam kereta selepas ditipu tuan rumah di sini, mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang membantu menyediakan rumah dan mendapatkan pekerjaan buat si bapa. Foto Facebook Steven Sim

A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Keperitan tujuh sekeluarga yang terpaksa tinggal di dalam kereta selepas ditipu tuan rumah di sini, mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang membantu menyediakan rumah dan mendapatkan pekerjaan buat si bapa.

Menerusi perkongsian di Facebook, Steven yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, lelaki itu yang dikenali sebagai Hilmi, sebelum ini merupakan pemandu lori dan mahu membawa keluarganya berpindah dari Kelantan ke Pulau Pinang termasuk menyewa sebuah rumah yang lebih selesa untuk mereka.

Namun malangnya menurut Steven, mereka ditipu tuan rumah dan dihalau meskipun deposit sewa telah dibayar.

"Maka dari situ mulalah kisah derita keluarga muda ini. Mereka tujuh sekeluarga tinggal dalam kereta usangnya. Bumbung ada, cermin tingkap tiada, malah cermin belakang pun dah pecah. Nak baiki tidak mampu jadi tutup dengan plastik putih dililit pelekat.

"Oleh sebab hidup berkelana dalam kereta usang, Hilmi akhirnya terpaksa melepaskan kerja sebagai pemandu lori tetapi Hilmi tidak berputus asa. Kereta usang yang jadi rumah itu, kereta itu juga dibawa ke sana ke sini buat Lalamove,” menurut hantaran Steven.

Hilimi dan Yani terharu apabila Steven mencarikan rumah baharu dengan bantuan sewa setahun, membelikan perkakasan rumah dan mendapatkan kerja buat Hilmi di sebuah syarikat lori manakala anak-anaknya dibantu untuk bersekolah semula. Foto Facebook Steven Sim

Beliau berkata, anak pasangan tersebut berumur dua hingga sembilan tahun dan dua daripada mereka terpaksa berhenti sekolah disebabkan keadaan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Steven, sebaik mendapat aduan mengenai keluarga itu, beliau terus ke lokasi mereka sebelum mendapati tujuh sekeluarga duduk beralaskan kain rentang buruk di tepi kereta.

Tersentuh dengan kisah dilalui mereka, beliau mencarikan rumah baharu dengan bantuan sewa setahun, membelikan perkakasan rumah dan mendapatkan kerja buat Hilmi di sebuah syarikat lori manakala anak-anaknya dibantu untuk bersekolah semula.

Menurut hantaran itu, Steven turut menyerahkan bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka serta membelanja mereka sekeluarga makan tengah hari pada pertemuan hari ini.

Steven beramah beramah mesra dengan anak-anak pasangan terbabit. Foto Facebook Steven Sim
Steven beramah beramah mesra dengan anak-anak pasangan terbabit. Foto Facebook Steven Sim

"Bila saya serahkan kunci rumah, Hilmi pula menitiskan air mata dan saya sempat titipkan (kata-kata) kepadanya usah bersedih, kini masanya untuk membina semula kehidupan malah malam ini saya gembira mengetahui Hilmi dan isteri, Yani (serta anak-anak mereka) tidak lagi hidup berbumbungkan langit beralaskan kain usang di tepi jalan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!