Sukarelawan tempatkan 22 kucing liar UM di lokasi selamat

Tangkap layar video yang dimuat naik pengguna TikTok @Shopbyhaniz pada Sabtu.
Tangkap layar video yang dimuat naik pengguna TikTok @Shopbyhaniz pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sekumpulan sukarelawan menempatkan 22 kucing liar yang berada di Universiti Malaya (UM) di lokasi selamat berikutan bimbang mengenai nasib haiwan tersebut.

Menerusi perkongsian video pengguna TikTok @Shopbyhaniz, inisiatif itu dibuat susulan kematian beberapa kucing yang ditemukan dalam keadaan menyayat hati baru-baru ini.

“Misi kami malam tadi (Sabtu) sebagai sukarelawan dan alhamdulillah kami berjaya menyelamatkan 22 kucing di UM.

“Semua kucing akan ditempatkan di lokasi selamat sebelum dihantar ke veterinar untuk pemeriksaan kesihatan, pemandulan, vaksinasi dan diberi ubat cacing serta kutu,” tulisnya pada ruangan kapsyen TikTok tersebut pada Sabtu.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai beberapa kucing ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di UM dengan empat kaki terpisah dari badan dan ada juga yang perutnya terbelah.

Susulan itu, UM membuat laporan polis berhubung insiden terbabit dan memaklumkan bahawa ia adalah kes kedua yang berlaku di kawasan kampus.

Polis pada Sabtu kemudiannya mengesahkan kucing tersebut mati bukan kerana dibunuh atau didera, sebaliknya akibat diserang anjing liar.

Artikel Berkaitan:

Tangkap layar komen yang dimuat naik pengguna TikTok pada Sabtu.
Tangkap layar komen yang dimuat naik pengguna TikTok pada Sabtu.

Dalam pada itu, tinjauan di ruangan komen turut mendapati pengguna aplikasi tersebut meluahkan rasa syukur kerana masih ada yang sudi menyelamatkan haiwan berkenaan.

Pengguna TikTok @tikxmdzln, berharap agar kumpulan sukarelawan terbabit dapat menyelamatkan semua kucing yang berada di universiti berkenaan.

“Harap tiada seekor pun yang terlepas pandang. Harap semuanya dapat diselamatkan. Kesiannya ya Allah,” katanya.

Seorang lagi pengguna TikTok @gingeruis__ turut meluahkan rasa lega apabila kucing itu diselamatkan walaupun tidak dapat bermain bersama haiwan tersebut sejurus tamat kuliah seperti kebiasaan dilakukannya.

“Terima kasih kak, lepas ini rindu nak main dengan kucing setiap kali balik dari kelas tetapi selagi kucing ini selamat, saya sangat gembira,” ujarnya.

Sementara itu, pengguna TikTok @cergasandfriends meminta agar pihak berkuasa menyiasat dan mencari pelaku sebenar yang membunuh kucing terbabit dengan kejam.

“Tolong siasat dan cari sampai dapat. Benci orang buat macam ini,” tulisnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!