Jurutera sanggup buat laporan palsu untuk tuntut insurans
REMBAU - Seorang jurutera sanggup membuat laporan polis palsu disamun dan kenderaan mewah jenis Audi miliknya dilarikan bagi menuntut pampasan insurans.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, lelaki berusia 42 tahun itu telah membuat laporan polis pada jam 3.14 pagi pada Sabtu.
"Lelaki itu mendakwa telah ditahan dua individu tidak dikenali pada Jumaat, jam 10.22 malam dan menyamun barang peribadi serta melarikan kereta Audinya.
"Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mendapati dia membuat laporan palsu demi membuat tuntutan insurans," katanya pada Ahad.
Menurutnya, lelaki itu telah pun ditahan kira-kira jam 11.45 pagi Ahad di sebuah restoran di Pedas di sini.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
"Orang ramai diseru tidak membuat laporan polis palsu sehingga memberi kesan negatif berlaku kejadian jenayah yang mengganggu gugat ketenteraman awam di daerah Rembau.
"Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu yang membuat laporan sedemikian," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!