Manchester United diaibkan Bournemouth di Old Trafford
GERGASI Liga Perdana Inggeris, Manchester United sekali lagi rebah di Stadium Old Trafford apabila diaibkan Bournemouth, 3-0 pada Ahad.
Manchester United yang mencari penawar di laman sendiri selepas disingkirkan Tottenham Hotspur, 4-3 dalam aksi suku akhir Piala Liga di Stadium Tottenham Hotspur pada 20 Disember lalu menurunkan barisan terkuat mereka.
Pengendali The Red Devils, Ruben Amorim, 39, mempertaruhkan bintang Belanda, Joshua Zirkzee, 23, di bahagian depan dibantu Bruno Fernandes, 30, dan Amad Diallo, 22, di bahagian tengah bagi memperkuatkan bahagian penyudah.
Bournemouth yang sekadar meraih keputusan seri 1-1 ketika melayan kunjungan West Ham United di Stadium Vitality, 17 Disember lalu, memberikan bayangan tampil lebih agresif.
The Cherries bimbingan Andoni Iraola, 42, meletakkan tonggak kelahiran Brazil, Evanilson, 25, disokong Dango Ouattara, 22, Justin Kluivert, 25, dan Antoine Semenyo, 24, di bahagian tengah.
Dean Huijsen, 19, terlebih dulu meletakkan Bournemouth di depan hasil jaringan minit ke-29 selepas menterjemahkan sentuhan Ryan Christie, 29, bagi menewaskan André Onana, 28, untuk memimpin separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, Manchester United memasukkan Leny Yoro, 19, (Tyrell Malacia, 25), Rasmus Hojlund, 21, (Zirkzee), Alejandro Garnacho, 20 (Alejandro Garnacho, 23) bagi memantapkan permainan.
Namun Bournemouth tenang mengasak Manchester United menyaksikan pelawat dihadiahkan sepakan penalti selepas Noussair Mazraoui, 27, mengasari Kluivert yang akhirnya menyempurnakan sepakan minit ke-61 untuk kedudukan 2-0.
Impian Manchester United untuk bangkit tidak kesampaian apabila Semenyo menjadikan kedudukan 3-0 minit ke-63 selepas menyudahkan sentuhan Ouattara.
Tiga mata diraih anak buah Iraola membolehkan Cherries naik tangga kelima dengan mengumpul 28 mata selepas mengharungi 17 perlawanan.
Manchester United pula kekal di kedudukan ke-13 dengan 22 selepas mengharungi 17 perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!