Mudah diakses, urusan transaksi cekap - Pakar
SHAH ALAM - Mudah diakses hanya melalui telefon pintar, kurang risiko kehilangan kad fizikal dan urusan transaksi dalam talian lebih cekap antara kebaikan boleh dimanfaatkan rakyat sekiranya kerajaan menggunakan sistem pengenalan digital.
Pakar keselamatan siber, Aaron Ikram Mokhtar berkata, penggunaan kad pengenalan digital sepertimana diperkenalkan di negara maju seperti Singapura, Jepun dan Kanada memudahkan urusan harian pengguna.
Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan terdapat risiko atau kelemahan perlu diberi penekanan contohnya serangan siber, kebocoran data peribadi dan kebergantungan terhadap teknologi tinggi.
“Daripada aspek keselamatan siber, penggodam mungkin menyasarkan sistem identiti digital untuk mencuri maklumat peribadi dan sensitif.
“Pelanggaran dalam pangkalan data pusat boleh menjejaskan berjuta-juta identiti digital dan pishing yang mana pengguna mungkin ditipu untuk berkongsi maklumat melalui laman sesawang atau aplikasi palsu.
“Selain itu, penyimpanan data identiti berpusat boleh menyebabkan penyalahgunaan maklumat peribadi. Sesiapa sahaja boleh salah guna sistem identiti digital untuk tujuan mengesan atau mengawasi tanpa persetujuan pemilik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika mengulas laporan khas berhubung Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesan sindiket pemalsuan MyKad pada harga RM4,500 sekeping menerusi media sosial, khusus kepada warga asing.
Terdahulu, Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias memaklumkan, ada sindiket meminta RM500 sebagai deposit sebelum bayaran penuh dibuat menerusi perbankan internet.
Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sedang mengesan sindiket terbabit dan JPN juga dalam usaha melakukan program outreach di seluruh negara bagi menangani pemilikan MyKad palsu.
Mengulas lanjut, Aaron Ikram berpandangan, tidak semua individu mempunyai akses kepada teknologi untuk menggunakan sistem identiti digital.
Katanya, individu lebih tua atau 'tidak celik IT' mungkin bergelut untuk memahami dan menggunakan kad pengenalan digital, malah berisiko tinggi terdedah kepada penipuan dalam talian.
Menurut beliau, kerajaan perlu melaksanakan langkah keselamatan siber yang kukuh misalnya desentralisasi penyimpanan identiti menggunakan block-chain.
“Pastikan privasi mengikut reka bentuk, sediakan kaedah akses luar talian atau sandaran fizikal di samping mendidik pengguna mengenai amalan keselamatan dan ancaman pancingan data.
“Memang banyak faedahnya jika masyarakat diperkenalkan dengan kad pengenalan digital, tetapi kena berhati-hati,” ujarnya.
INFO KAD PENGENALAN DIGITAL DI NEGARA LUAR
SINGAPURA - SingPass
Dilancarkan pada 2003, sistem ditambah baik pada 2016.
Syarat kelayakan adalah warganegara, pemastautin tetap (PR), pemegang Nombor Pengenalan Asing (FIN) dan berusia 15 tahun ke atas.
Menggunakan kaedah biometrik seperti pengesahan cap jari dan muka serta pengesahan dua faktor (2FA) untuk log masuk.
INDONESIA - INA Digital
Dilancarkan bekas Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo.
Dibangunkan oleh 400 pengusaha digital tempatan di bawah projek GovTech Indonesia.
Menggunakan kaedah Single Sign-On dan Pengesahan Pelbagai Faktor (MFA).
KENYA - Maisha
Dilancarkan pada 2023.
Diuruskan Direktori Perkhidmatan Pendaftaran Awam (CRS) dan Biro Pendaftaran Nasional (NRB).
Idea penubuhan sejak 1991
Memerlukan pengesahan biometrik seperti cap jari dan foto.
SOMALIA - eAqoonsi
Dilancarkan pada 2023.
Dibangunkan Pihak Berkuasa Pengenalan dan Pendaftaran Negara (NIRA).
Memerlukan kata laluan satu kali (OTP) untuk pengesahan log masuk.
INDIA - e-Aadhaar
Dilancarkan pada 2010.
Diuruskan Pihak Berkuasa Pengenalan Unik India (UIDAI).
Pengesahan melalui cap jari, mata dan OTP.
ESTONIA - e-ID
Dilancarkan pada 2002.
Hampir 98 peratus penduduk menggunakan e-ID untuk tandatangan digital, i-Voting, log masuk akaun bank dan lain-lain.
Menawarkan lebih 1,000 servis atau perkhidmatan awam dalam talian.
Mandatori untuk semua penduduk tempatan.
JERMAN - e-ID
Dibangunkan pada 2010.
Di bawah seliaan Pihak Berkuasa Pengeluar Sijil Kebenaran (VfB) Pejabat Pentadbiran Persekutuan.
Nombor pin untuk log masuk.
JEPUN - My Number
Dilancarkan pada 2015.
Di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan.
Bakal diintegrasi dan berfungsi sebagai lesen memandu menjelang Mac 2025.
KANADA- eID-Me
Dilancarkan pada 2020.
Dibangunkan oleh Bluink.
Menggunakan kaedah pengecaman muka, nombor PIN, MFA dan lain-lain ciri keselamatan terkini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!