Langkah tepat kuat kuasa pangkalan haram
KENYATAAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai isu larangan menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan negara dan Thailand di sepanjang Sungai Golok, berkuat kuasa 1 Disember adalah langkah tepat bagi memastikan usaha banteras sebarang kes jenayah dapat ditangani dengan baik.
Antara kes yang pernah direkodkan ialah jenayah penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kontraban. Ini dibuktikan dengan kejayaan tangkapan yang direkodkan pihak berkuasa termasuklah PDRM dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Sinar Harian menerusi laporan khas pada Februari lalu mendedahkan aktiviti menyeberang Sungai Golok hanya mengambil masa kira-kira lima minit. Dianggarkan terdapat 140 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok dari Rantau Panjang ke Pengkalan Kubor yang menawarkan khidmat keluar dan masuk ke dalam negara dengan bayaran serendah RM3.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mana-mana individu yang menggunakan pangkalan haram untuk menyeberang sempadan negara dan Thailand di Sungai Golok, bermula 1 Disember lalu akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).
Sudah tentu tindakan tegas ini bertujuan memperketat kawalan sempadan dan mengelak berlaku jenayah rentas sempadan dengan membawa barangan salah termasuklah dadah.
Namun, penguatkuasaan turut berdepan cabaran termasuk ancaman kepada petugas keselamatan. Perkara itu didedahkan Mohd Yusoff baru-baru ini apabila pihaknya menerima pelbagai ancaman susulan penguatkuasaan terbabit.
Dalam nada tegas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, pihaknya tidak tergugat dengan ancaman berkenaan sebaliknya PDRM akan terus komited dengan tanggungjawab menegakkan undang-undang.
Sudah tentu, masyarakat perlu memberi dukungan kepada pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat bagi bersama membanteras kegiatan jenayah.
Ini sangat penting kerana kegiatan jenayah menyumbang kepada masalah ketenteraman awam.
Contohnya isu penyeludupan dadah, ia berisiko membabitkan golongan muda, manakala isu PATI menyumbang kepada ancaman keselamatan.
Diharap, kerajaan Malaysia dapat mencari jalan penyelesaian dalam memastikan sempadan negara terus dipelihara daripada dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!