Badai 2024 landa arena bola sepak negara
PEMINAT bola sepak Malaysia sudah pasti kecewa dengan mutu permainan yang ditampilkan pasukan kesayangan mereka hari ini. Mana tidaknya apabila Harimau Malaya gagal layak ke peringkat separuh akhir Piala ASEAN 2024, baru-baru ini, biarpun dibarisi beberapa pemain kacukan dan naturalisasi.
Pada peringkat kumpulan, sungguhpun menang, Harimau Malaya yang berada di ranking 132 dunia seakan-akan bergelut menentang Timor Leste iaitu pasukan di ranking 197, sebelum cabaran disekat Thailand dan Singapura.
Malangnya, ketika kejohanan berlangsung, ada beberapa pemain telah dipanggil pulang oleh kelab masing-masing. Merak Jalanan melihat ia satu situasi yang membimbangkan. Tidak pasti di mana silap dan apa puncanya. Suatu ketika, penyokong atau 'ekor' Harimau Malaya kelihatan bangkit apabila permainan cantik mula ditampilkan di bawah kendalian Kim Pan Gon dari Korea Selatan pada tahun 2022.
Namun, apa yang Merak Jalanan lihat, tahun ini, pasukan bola sepak negara bagai dipukul badai apabila satu per satu kes melanda. Pan Gon telah meletak jawatan pada Julai lalu dalam situasi yang masih dirahsiakan puncanya.Selain itu, apa yang Merak Jalanan boleh kongsikan, tanggal 5 Mei antara detik hitam sukan tanah air apabila Faisal Halim menjadi mangsa kes simbah asid oleh individu yang masih diburu.
Beberapa hari sebelum itu, pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid disamun dan dicederakan di Kuala Terengganu.
Pada April, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menjalankan siasatan ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia berhubung isu pembinaan projek Pusat Latihan Kebangsaan di Putrajaya.
Selain itu, pasukan kelab bola sepak tempatan seperti Kuala Lumpur City FC (KL City), Kedah Darul Aman FC dan Perak FC juga berdepan dengan masalah bayaran gaji pemain. Semoga krisis yang melanda bola sepak negara dapat ditangani dengan baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!