UPNM B bangkit libas habis SSBJ
UNIVERSITI Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) B mengungguli Kategori Beregu Premier Liga Varsity Sepak Takraw League (VSL) Grand Final 2024 yang melabuhkan tirai di Putrajaya.
Biarpun begitu UPNM bermula tempang set pertama apabila tewas kepada regu Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) 14-17 dalam perlawanan akhir berkenaan.
Set kedua, UPNM kembali bangkit lebih bertenaga untuk memenangi perlawanan 15-4 seterusnya menyamakan kedudukan bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Set penentuan, UPNM dan SSBJ meningkatkan intensiti permainan menyaksikan masing-masing saling bertukar mata sebelum UPNM keluar sebagai pemenang 15-11.
Sementara itu, pengurus UPNM, Mohd Aniq Hilman Abdul Mutallip menyifatkan kejayaan anak buah Rul Amri Hashim menjinakkan SSBJ menebus kekalahan kepada pasukan sama di suku akhir Sirkit 2 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada Mei lalu.
"Saya amat berpuas hati dengan prestasi pemain UPNM kerana usaha dan komitmen yang tinggi diberikan masing-masing dari awal latihan intensif hingga ke hari akhir kejohanan tanpa henti demi memastikan kejuaraan beregu milik UPNM," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Mengenai persediaan UPNM untuk cabaran 2025, Mohd Aniq Hilman berkata: "Insya-ALLAH, bagi persiapan 2025, kami akan memperbanyakkan lagi latihan dan perlawanan persahabatan dari masa ke semasa.
"Pemain-pemain UPNM masih memerlukan lebih banyak perlawanan kompetitif bagi mematangkan lagi permainan mereka apabila berdepan pasukan lawan berintensiti tinggi."
Sebagai rekod, UPNM mempertaruhkan kudrat Muhammad Azib Mohd Zu,
Mohammad Haizam Huzairi Saipul Nizam dan Muhammad Aiman Husni Abdul Hadi bagi kategori beregu Premier kali ini.
VSL 2024 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) memasuki
peringkat Grand Final menyingkap tirai pada Khamis lalu
Sementara itu, SSBJ mengungguli Kategori Regu Premier apabila berjaya menewaskan UPM A, 2-1 dalam perlawanan akhir.
Bagaimanapun SSBJ bermula tempang set pertama apabila tewas 15-17 kepada pasukan berpangkalan di Serdang itu dalam perlawanan yang berlangsung sengit.
Set kedua, SSBJ dan UPM A menampilkan permainan menghiburkan apablia saling bertukar mata sebelum pasukan berpangkalan di Bukit Jalil itu mengikat perlawanan dengan kemenangan 15-13.
Set penentuan, SSBJ yang mula mendapat rentak kemudian mengasak lawan untuk menang 15-11.
Kategori Beregu Elit pula menyaksikan dominasi Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) A dari Perak apabila menjinakkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) A, 17-15, 15-3 dalam perlawanan akhir.
Kategori Regu Elit pula menyaksikan keunggulan Universiti Teknologi Mara (UiTM) A apabila menewaskan Kolej Komuniti Malaysia (KK MAS) A, 2-0 (15-10, 15-9).
INFOLIGA (VSL)
KEPUTUSAN
Kategori Beregu Premier:
1. UPNM B
2. SSBJ
3. UPM B
Kategori Regu Premier:
1. SSBJ
2. UPM A
3. UPM B
Kategori Beregu Elit
1. USAS A
2. USIM A
3. UiTM A
Kategori Regu Elit
1. UiTM A
2. KK MAS A
3. KPTM Bangi
ANUGERAH KATEGORI KHAS VSL
Pengurus Terbaik:
Mohd Aniq Hilman Abdul Mutallip (UPNM)
Jurulatih Terbaik:
Ahmad Sufi Mohamed Hashim (UPM)
Tekong Terbaik:
Muhammad Faisal Mohd Fuad (UPM)
Perejam Terbaik:
Mohamad Haiam Huzairi Saipul Nizam (UPNM)
Pengumpan Terbaik:
Mohammad Kamarul Ezzaf (SSBJ)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!