Indeks Sentimen PKS meningkat, bukti keyakinan PMKS

SME Bank menjangkakan ekonomi Malaysia mampu berkembang di tahap terbaik walaupun menghadapi pelbagai cabaran global
SME Bank menjangkakan ekonomi Malaysia mampu berkembang di tahap terbaik walaupun menghadapi pelbagai cabaran global
A
A
A

SEKTOR perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi separuh kedua tahun 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak 55.8 berbanding separuh tahun pertama 2024 iaitu 54.7.

Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim berkata, trend peningkatan tersebut mencerminkan pertumbuhan ekonomi lebih baik.

Menurutnya, ia juga menunjukkan jangkaan jualan yang kukuh dan pembaharuan perancangan serta pengembangan peluang pekerjaan.

“Ini mengukuhkan lagi peranan kritikal PMKS dalam trajektori ekonomi Malaysia selari dengan fokus Kerajaan Madani terhadap pertumbuhan mampan dan inklusif khususnya dalam mewujudkan prospek positif untuk PMKS terus maju dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah serta kompetitif.

“Momentum positif yang direkodkan dalam kajian ini sekali lagi menekankan kedudukan PMKS sebagai segmen penting dalam ekonomi kita yang menyumbang secara signifikan kepada trajektori pertumbuhan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonominya, Lynette Lee Li Qing berkata, ekonomi Malaysia terus berkembang pada kadar 5.2 peratus dalam sembilan bulan pertama 2024 dan sentimen tersebut selari dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih baik bagi tahun 2025.

Beliau berkata, SME Bank turut menjangkakan ekonomi berkembang antara 4.5 peratus sehingga 5.5 peratus.

“Petunjuk lain seperti Kajian Kecenderungan Perniagaan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), juga meramalkan keadaan perniagaan lebih baik dalam beberapa bulan akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun optimisme semakin meningkat, PMKS terus berdepan cabaran seperti tekanan kos yang lebih tinggi dan lebih terdedah kepada turun naik kadar pertukaran akibat peningkatan aktiviti import dan eksport, yang berpotensi memberi kesan kepada margin keuntungan jika tidak diurus dengan efektif,” ujarnya.

Dalam pada itu, Lynette berkata, sebahagian besar responden dari semua saiz perniagaan menjangkakan pengembangan ekonomi dengan diterajui oleh perniagaan berskala besar melibatkan 63 peratus responden,manakala perniagaan mikro adalah paling kurang optimistik iaitu 50 peratus.

Jelasnya, perniagaan besar mungkin mendapat manfaat daripada permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan perdagangan antarabangsa apabila jumlah barangan dijangka berkembang sebanyak tiga peratus tahun ke tahun pada 2025 berbanding 2.7 peratus pada 2024.

Tambahnya, perniagaan mikro mempunyai pendedahan eksport paling rendah iaitu lima peratus tetapi menunjukkan minat tertinggi sebanyak 20 peratus untuk menjual produk ke luar negara pada masa hadapan.

“Ini adalah perubahan lengkap berbanding keputusan tahun pertama 2024 di mana perniagaan berskala besar merupakan yang paling pesimis, menjangkakan kelembapan ekonomi berbanding perniagaan mikro yang menjangkakan pengembangan ekonomi.

“Kajian yang dijalankan antara Ogos hingga November 2024 mencatatkan rekod tertinggi dengan 1,485 responden berbanding tahun separuh tahun pertama 2024 melibatkan peserta dari semua negeri di Malaysia, yang mewakili pelbagai sektor dan saiz perniagaan.

“Kami turut mengumpulkan data bernilai mengenai pandangan dan pengalaman PMKS selain menawarkan gambaran makro terhadap persekitaran perniagaan yang menjadi penanda aras kepada prestasi ekonomi masa hadapan secara keseluruhan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!