'Dah tak boleh turun laut lagi selepas ini' - Hanita

Muhamad Ikmal Hakimi (dua dari kanan) dan Nor Hazrul (kanan) ditemukan selamat di perairan Acheh, Indonesia semalam dan tiba di sini dengan menaiki kapal Maritim. - Foto: Bernama
Muhamad Ikmal Hakimi (dua dari kanan) dan Nor Hazrul (kanan) ditemukan selamat di perairan Acheh, Indonesia semalam dan tiba di sini dengan menaiki kapal Maritim. - Foto: Bernama
A
A
A

BAYAN LEPAS - "Lepas ni tak boleh turun laut dah. Cukup keja Rela sahaja". Itu luahan, Hanita Ismail, 47, ibu kepada Muhamad Ikmal Hakimi Ismail, 22, salah seorang mangsa bot hanyut selama enam hari ketika ditemui di Jeti Limbongan Batu Maung di sini pada Isnin.

Hanita berkata, dia sememangnya tidak pernah mengizinkan anaknya untuk turun ke laut kerana bimbang keselamatan berikutan Muhamad Ikmal Hakimi merupakan orang kurang upaya masalah pembelajaran.

"Saya memang tak suka dia turun ke laut. Seperti yang saya kata sebelum ini, anak yang seorang ini, dia akan buat apa yang dia suka buat. Saya bimbang dengan keselamatan dia sebab dia orang kurang upaya. Saya kenal (sikap) anak saya.

"Ini bila dah jadi macam ni (hanyut enam hari), memang saya tak izin dah dia ke laut. Cukup kerja di darat saja, meneruskan tugas sebagai anggota Rela sahaja selepas ini kerana kerjaya nelayan tak sesuai dengan dia," katanya.

Sebelum ini media melaporkan mengenai dua lelaki, Muhammad Ikmal yang juga berstatus orang kurang upaya masalah pembelajaran dan rakannya, Nor Hasrul Abdullah, 25, dilapor hilang selepas bot yang dinaiki mereka hanyut dalam kejadian malam Selasa lalu.

Kedua-dua mereka kemudiannya ditemui selamat di perairan Acheh, Indonesia pada pagi Ahad dan telah dibawa pulang ke pangkuan keluarga masing-masing kira-kira jam 8 pagi Isnin.

Bercerita lanjut, Hanita berkata, dia hanya tidur selama dua jam sahaja sejak malam Ahad kerana tidak sabar untuk bertemu dengan anaknya itu.

"Saya dapat tahu dia selamat jam 10 pagi semalam, saya menangis syukur sebaik sahaja dapat makluman bahawa anak saya selamat kerana sepanjang dia hilang di laut saya tidak menangis.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana, naluri saya kuat mengatakan anak saya masih ada (hidup)," tambahnya.

Jelasnya lagi, mimpinya pada malam Sabtu lalu mengenai keadaan anaknya itu ada kebenarannya.

"Saya ada bermimpi pada malam Sabtu lalu bahawa dia berada dalam keadaan selamat di sebuah pondok dan dia dikelilingi ramai orang.

"Rupanya orang yang ramai di keliling dia itu adalah nelayan dari Acheh, saya sangat bersyukur dia dijumpai dengan selamat tetapi untuk dia jadi nelayan selepas ini memang saya tidak benarkan," katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada Nor Hasrul, Noor Azilah Jamaluddin, 44 berkata, dia akan membenarkan Nor Hasrul untuk turun ke laut kerana anaknya itu amat meminati laut.

"Dia memang suka kerja nelayan, ini memang minat dia.

"Cuma saya mahu dia tingkatkan keselamatan sebelum turun ke laut, apa yang berlaku adalah pengalaman berharga buat mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!